Sabtu, 8 Oktober 2016

DAP dan Amanah sahaja yang ditolak - Majlis Syura Ulama PAS

Oleh Wan Anis Ilyani Wan Mohammad Azhar
Post Pic
 
 
SHAH ALAM: Majlis Syura Ulama PAS mempunyai pandangan berbeza apabil menyatakan keterbukaan untuk bekerjasama dengan mana-mana parti kecuali DAP dan Amanah, demikian menurut Setiausahanya, Datuk Dr Nik Mohamad Zawawi Nik Salleh.
 
"Kita tak bekerjasama dengan DAP dan Amanah, itu sahaja," katanya kepada Antarapos, hari ini.
 
Kenyataan itu menyusul selepas Ketua Penerangan PAS Nasruddin Tantawi pada dua hari lalu berkata, partinya tidak akan menjalin kerjasama dengan mana-mana parti politik pembangkang yang ada hubungan bersama DAP.
 
Syarat itu dinyatakan Nasruddin, sekiranya mahu mengadakan rundingan dan perbincangan mengenai pembahagian kerusi untuk Pilihan Raya Umum ke-14 (PRU14) akan datang.
 
Ujar Nasruddin syarat sedemikian perlu supaya parti-parti pembangkang mempunyai semangat setiakawan dan menghormati prinsip perjuangan PAS.
 
Nik Zawawi, ketika mengulas syarat berkenaan mendakwa konteks Nasruddin mungkin telah disalah anggap.
 
Sementara itu, beliau juga turut diajukan dakwaan Presiden Parti Pribumi Bersatu Malaysia (PPBM), Tan Sri Muhyiddin Yassin kononnya mendapat komitmen daripada PAS untuk membentuk blok pembangkang yang baru untuk menumbangkan Umno-Barisan Nasional (BN).
 
"Kita akan bincang dalam mesyuarat Majlis Syura Ulama esok," katanya ringkas.
 
Nik Zawawi juga menegaskan PAS tetap melawan Umno-BN sekaligus menepis tohmahan kerjasama yang kononnya sedang diwujudkan antara dua parti berkenaan.
 
Muhyiddin pada hari ini mendakwa mendapat penyataan komitmen yang disifatkan positif daripada wakil pemimpin PAS ketika menghadiri sebuah majlis politik yang diadakan di Terengganu, minggu lalu.
 
Sehubungan itu Muhyiddin menyeru PAS, PKR dan PPBM bersatu dalam agenda menumbangkan parti pemerintah.
 
Selain perbincangan komitmen membentuk blok pembangkang, PAS, menerusi Mesyuarat Majlis Syura Ulamanya esok akan turut membincangkan pengganti Allahyarham Datuk Dr Haron Din untuk jawatan Mursyidul Am.
 
 

Tiada ulasan: