Sabtu, 8 Oktober 2016

BILA PENYOKONG MACAM SAMSENG, APAKAH JENIS PEMIMPIN YANG KITA ADA?

shahbudindotcom

Melihat kepada beberapa kejadian ganas dan ala samseng oleh Gerakan Baju Merah untuk menghalang perjalanan atau konvoi Bersih 5 di beberapa tempat hari ini  sebagaimana yang tersebar dengan meluas di media-media sosial, ia pasti membuatkan kita geleng kepala dengannya.

Apa sudah jadi sebenarnya dengan keghairahan berpolitik di negara kita?
 
 
 
 
Kenapa perlu sampai dihalang perjalanan atau konvoi program jelajah Bersih 5 dengan tindakan ganas dan ala samseng seperti itu sedangkan tujuan mereka semata-mata untuk memberi kesedaran kepada rakyat mengenai pilihanraya yang adil dan bersih?

Mengapa tidak diserahkan sepenuhnya soal keselamatan dan ketenteraman awam kepada pihak polis untuk menanganinya?
 
 
 
 
Pernahkah kita menonton filem Barat, Tamil atau Hindustan berkaitan tindakan ganas dan ala samseng seperti yang ditunjukkan oleh Gerakan Baju Merah itu?

Jika kita pernah menontonnya, kita tentu menyedari bahawa dalam semua kejadian ganas dan ala samseng yang dipertontonkan itu, ia hanya dilakukan oleh penyokong-penyokong kepada pemimpin atau  ketua yang korup dan makan duit rakyat saja.
 
 
 
 
Mereka terpaksa melakukannya untuk menghalang rakyat bersuara dan bangkit menyatakan kebenaran. Mereka tidak melakukannya untuk menyelamatkan negara atau bertujuan memberi kesejahteraan kepada rakyat, tetapi semata-mata kerana diupah agar pemimpin atau ketua yang korup itu terus kekal berkuasa.

Tidak seperti di negara-negara maju, demonstrasi atau perhimpunan aman adalah perkara biasa dan dibenarkan mengikut undang-undang. Tidak pernah kumpulan masyarakat yang mengadakan perhimpunan di tempat awam menerima gangguan secara ganas, ala samseng, disepak dan diterajang oleh penyokong kepada pemimpin yang sedang berkuasa.

Pemimpin yang menghormati hak rakyat serta tidak korup, tidak ada sebab untuk membenarkan para penyokongnya bertindak ganas, ala samseng, menyepak dan menerajang orang lain dengan sesuka hati.
 
 
 
 
Akhirnya, tindakan ganas dan ala samseng oleh Gerakan Baju Merah itu, yang berlaku di sebuah negara yang mahu mencapai status negara maju pada tahun 2020, sebenarnya hanya menyerlahkan lagi jenis pemimpin yang kita ada. Tidak pernah kita ada jenis pemimpin sebegini sebelum ini.

Seiring menjelangnya 60 tahun merdeka, sudah sampai masanya bagi pengarah filem Barat, Tamil dan Hindustan dijemput datang beramai-ramai ke negara kita dan menjadikan apa yang berlaku ini sebagai hasil karya untuk tontonan kepada seluruh dunia pula.


Tiada ulasan: