Selasa, 4 Oktober 2016

Belanjawan 2017: Pakatan Harapan gesa potong peruntukan Jabatan Perdana Menteri

dr-zul-lct

Oleh Syazana Hasanudin


KUALA LUMPUR: Pakatan Harapan mendesak kerajaan pimpinan Datuk Seri Najib Razak untuk memotong peruntukan Jabatan Perdana Menteri (JPM) dalam Belanjawan Persekutuan 2017 yang akan dibentang pada sidang Parlimen akan datang.

Perkara itu dinyatakan dalam sidang akhbar oleh Pengarah Pendidikan Politik DAP, Liew Chin Tong dan Pengarah Strategi Parti Amanah Negara, Dr. Dzulkefly Ahmad yang diadakan di ibu pejabat DAP pagi tadi.

Mereka menjelaskan bahawa ‘slush fund’ iaitu dana pembangunan mengikut budi bicara yang diperuntukkan untuk JPM dalam belanjawan-belanjawan sebelum ini adalah terlalu tinggi dan tidak pernah wujud sebelum zaman pemerintahan Najib Razak.

Ujar mereka, dana itu disalurkan kepada beberapa hal yang tidak jelas yang disebut sebagai Program Pembangunan, Penyelarasan Program Pembasmian Kemiskinan, Projek-projek Kecil, projek Khas, Projek Mesra Rakyat dan Dana Fasilitasi.

“Perdana Menteri mempunyai kuasa mutlak ke atas cara membelanjakan dana itu, malah kesemua program itu melibatkan dana bernilai billion ringgit. Butiran perbelanjaan itu pula tidak diumumkan kepada Ahli Parlimen mahupun rakyat.

“Memandangkan kuasa Parlimen semakin dikurangkan oleh parti pemerintah akhir-akhir ini, butiran perbelanjaan itu juga tidak disemak atau diaudit oleh pihak berwajib,” jelas Chin Tong.

Pada masa sama, Dr. Dzulkefly menjelaskan bahawa ekonomi yang semakin mencabar gara-gara ketidakstabilan pasaran dunia akan menyebabkan kerajaan terpaksa memotong lebih banyak peruntukan dalam belanjawan akan datang.

Namun, katanya, kerajaan perlu mensasarkan Jabatan Perdana Menteri dan bukannya memotong peruntukan kepada sektor melibatkan rakyat seperti kesihatan, pendidikan dan hal ehwal kebajikan.

Chin Tong kemudian menambah, walaupun hanya 19 peratus dari Belanjawan 2016 diperuntukkan untuk perbelanjaan pembangunan, tetapi dari jumlah itu, JPM sahaja telah mengambil peruntukan sebanyak 27.5 peratus, jauh lebih banyak dari sektor lain.

“Pada tahun terakhir Tun Abdullah menjadi Perdana Menteri, JPM hanya memperoleh peruntukan sebanyak RM7 bilion. Namun, sejak Najib memegang kuasa, jumlah itu naik hampir tiga kali ganda, iaitu sebanyak RM20 bilion pada 2016,” katanya.

Dr. Dzulkefly turut menggesa kerajaan BN pimpinan Najib tidak lagi membuat kesilapan sama dengan membazirkan wang rakyat untuk projek-projek yang dipalit skandal, seperti projek pembangunan 1MDB Tun Razak Exchange (TRX) dan Bandar Malaysia.

“Memang pilihan raya sudah semakin dekat, tetapi kita harap Najib tidak membuat belanjawan yang populis seperti sebelum ini dan akhirnya membebankan rakyat. Mereka harus buat keputusan yang betul,” katanya. – Roketkini.com


Tiada ulasan: