Ahad, 23 Oktober 2016

Bajet 2017: Kerajaan Johor mahu peruntukan disalurkan ikut keperluan negeri

Astro Awani
Bajet 2017: Kerajaan Johor mahu peruntukan disalurkan ikut keperluan negeri
Mohamed Khaled turut menyifatkan Bajet 2017 mempunyai kepentingan dalam menfokuskan bakat dan kemahiran yang selari dengan fokus kerajaan negeri yang sebelum ini telah mewujudkan pembangunan hab kemahiran di Johor. - Gambar Astro AWANI
 
 
JOHOR BAHRU: Kerajaan Johor yang menyambut baik Bajet 2017 dan berharap peruntukan yang disediakan akan disalurkan mengikut keperluan negeri tanpa berlaku sebarang ketirisan.

Menteri Besar Johor, Datuk Seri Mohamed Khaled Nordin berkata, setiap kementerian yang dipertanggungjawabkan untuk mengagihkan peruntukan dapat melihat secara meluas setiap keperluan negeri secara adil.

“Dua perkara saya berharap dapat diberi perhatian adalah pelaksanaan, biasanya ada jurang antara dasar dan pelaksanaan, macam yang diumumkan Perdana Menteri. Peruntukan membaiki rumah pangsa dalam bandar itu pada dasar,” katanya Mohamed Khaled.

“Soalnya, sampai tak ke Johor Bahru dan Tebrau? Ini dapat dilihat supaya kementerian mengagihkan secara saksama, rumah pangsa ada tiga atau empat tempat sahaja yang banyak -- selain di Kuala Lumpur, Pulau Pinang dan di Sabah dan Sarawak, yang lain tidak banyak." katanya.

"Jadi pengagihan soal air,  kata 70 bilion, jadi sejauh mana sampai di Johor. Jadi di antara dasar dan pelaksanaan, kita berharap supaya itu dapat ditentukan yang ia terlaksana dan diagihkan secara saksama,” tambahnya.

BACA: LAPOR LANGSUNG Pasca Bajet 2017

Beliau berkata demikian selepas melancarkan Program Johor Future Home di Kampung Kuala Sungai Masai di sini hari ini.

Mohamed Khaled turut menyifatkan Bajet 2017 mempunyai kepentingan dalam menfokuskan bakat dan kemahiran yang selari dengan fokus kerajaan negeri yang sebelum ini telah mewujudkan pembangunan hab kemahiran di Johor.

Beliau turut berharap melalui usaha tersebut dapat diterjemahkan kepada hasil yang memberi manfaat kepada masyarakat.

Pada masa sama, beliau turut mengalu-alukan keprihatinan kerajaan pusat terhadap cabaran kehidupan semasa, antaranya meningkatkan bantuan Rakyat 1Malaysia (BR1M) dan kemudahan skim pembiayaan rumah pertama.

Tiada ulasan: