Khamis, 20 Oktober 2016

Azizah lancar Belanjawan Alternatif

Oleh Shuhaniza Said dan Haizal Yatiran
Post Pic


KUALA LUMPUR: Pakatan Harapan (PH) hari ini melancarkan Belanjawan Alternatif 2017, dengan menggariskan 11 cadangan dasar bersandarkan prinsip Maqasid Syariah bagi menangani isu-isu utama negara dan mengelakkan krisis ekonomi di kala kelembapan ekonomi dunia.

Pelancaran belanjawan itu dibuat oleh Ketua Pembangkang Datuk Seri Dr Wan Azizah Wan Ismail di Parlimen.

Bertemakan 'Pakatan Harapan Menentukan Masa Hadapan', Azizah berkata, Belanjawan Alternatif kali ini turut mendesak peletakan jawatan Datuk Seri Najib Razak selaku Menteri Kewangan.

"Permintaan pertama belanjawan alternatif PH tahun ini adalah untuk Perdana Menteri, Datuk Seri Mohd Najib Razak meletakkan jawatan sebagai Menteri Kewangan.

"Setahu saya, jarang sekali di dunia seorang perdana menteri turut memegang portfolio menteri kewangan," katanya dalam sidang media sebentar tadi.

Turut hadir, Presiden Amanah, Mohamad Sabu; Ketua Setiausaha Sekretariat PH, Datuk Saifudin Abdullah dan ahli-ahli Parlimen PH.

Turut kelihatan, Ahli Parlimen Pokok Sena daripada PAS, Datuk Mahfuz Omar.

Sebelas cadangan dasar Belanjawan Alternatif PH adalah:

1. Menubuhkan Suruhanjaya Peluang Sama Rata untuk menghindari diskriminasi di sektor awam dan swasta

2. Kenaikan gaji minimum RM1,500 bagi pekerja warganegara Malaysia

3. Pengurangan secara progresif kebergantungan terhadap pekerja asing melalui kenaikan levi setiap tahun sehingga 2020

4. Ketelusan dan akauntabiliti dalam laporan fiskal dengan pendedahan penuh aset-aset bukan kewangan kerajaan, liabiliti luar jangka dan merancang untuk mengurangkan tahap hutang.

5. Penggunaan sistem pengurusan anti rasuah ke dalam proses membuat keputusan kerajaan

6. Meneruskan kesaksamaan antara Malaysia Timur dengan Barat, memperuntukkan enam peratus daripada belanjawan pembangunan persekutuan kepada lima buah negeri termiskin dari aspek gaji iaitu Sabah, Sarawak, Kelantan, Kedah dan Terengganu.

7. Industri beras di bawah Padiberas Nasional Berhad ( Bernas) perlu diperkasakan dengan mengembalikan fungsi mengimport dan menjual besar demi keuntungan komersial. Melalui cara ini Malaysia akan dapat mengelakkan krisis makanan di masa depan.

8. Pemberian Perkhidmatan Sejagat (USP) perlu digunakan untuk menaiktaraf liputan telekomunikasi dan Internet komuniti.

9. Cadangan memperkenalkan harga bersepadu untuk perkhidmatan Komuter KTM, bas Rapid KL, Bas Transit Rapid (BRT), LRT dan MRT di Lembah Klang.

10. Pakatan akan mewujudkan dasar campur tangan secara langsung bagi setiap perumahan awam.

11. Memperkukuh aspek penjagaan kesihatan awam dengan mencabut rasuah yang berakar umbi, menangani masalah penempatan 'housemanship' dan membebaskan pengaruh kerajaan dalam Majlis Perubatan Malaysia.

Tiada ulasan: