Sabtu, 8 Oktober 2016

ADUN Jorak faham perlembagaan Umno, sedia dipecat

ANTARAPOS.COM


Post Pic
 
 
MUAR: ADUN Jorak Datuk Dr Shahruddin Md Salleh bersedia untuk dipecat daripada Umno kerana sudah melanggar Perlembagaan Umno apabila menerima jawatan Setiausaha Agung Parti Pribumi Bersatu Malaysia (PPBM).
 
Katanya, beliau memahami Perlembagaan Umno yang mensyaratkan mana-mana ahli parti yang melanggar peraturan akan dipecat seperti pernah berlaku kepada pemimpin Umno yang melakukan kesalahan sama sebelum ini.   
 
"Dengan perginya saya ke PPBM ini, secara automatik, saya juga melanggar Perlembagaan Umno. Ramai dalam kalangan ahli Umno yang melanggar Perlembagaan sudah dipecat dan saya faham mengenainya. 
 
"Sehubungan dengan itu, saya kira bahawa (kerajaan Umno dan BN) di DUN Johor sudah tidak mendapat majoriti dua pertiga dalam dewan," katanya.
 
Beliau berkata demikian ketika ditemui pemberita selepas menghadiri Program Bicara Rakyat Bersatu di Kampung Sungai Terap, di sini, malam tadi. 
 
Turut hadir ialah Pengerusi PPBM, Tun Dr Mahathir Mohamad dan Presiden PPBM, Tan Sri Muhyiddin Yassin. 
 
Namun Shahruddin mengakui kedudukan Barisan Nasional (BN) di Johor masih utuh walaupun kehilangan majoriti dua pertiga dalam Dewan Undangan Negeri (DUN) Johor. 
 
"Menteri Besar (Datuk Seri Mohamed Khaled Nordin) kita masih boleh tadbir negeri Johor dalam keadaan baik, selamat dan selesa. Beliau akan terus mentadbir negeri ini seperti dilakukannya pada hari ini (walaupun kehilangan majoriti dua pertiga)," katanya. 


Tiada ulasan: