Sabtu, 25 Jun 2016

Malaysia wajar contohi David Cameron

Perdana Menteri Britain, David Cameron
Perdana Menteri Britain, David Cameron
 
 
SHAH ALAM – Pemuda Pas memuji tindakan berani Perdana Menteri Britain, David Cameron yang menyerahkan kepada rakyat untuk menentukan masa depan negara itu.

Timbalan Ketuanya, Muhammad Khalil Abdul Hadi berkata, Malaysia wajar mencontohi cara itu ketika menentukan dasar utama kerajaan termasuk perjanjian Perkongsian Trans Pasifik (TPP) dan Cukai Barangan dan Perkhidmatan.

“Tindakan David Cameron yang berani mengadakan referendum Brexit bagi menentukan sama ada Britain kekal bersama Kesatuan Eropah (EU) atau sebaliknya. Ia membuktikan kesuburan sistem demokrasi berparlimen Britain apabila menyerahkan kepada rakyat menerusi undi popular bagi sesuatu dasar utama, tanpa menggunakan suara wakil rakyat atau pengundian di Parlimen untuk mengubah dasar atau hala tuju negara.

“Usaha ini sewajarnya dicontohi oleh Malaysia dalam menentukan dasar utama kerajaan, seperti perjanjian TPPA dan GST yang menjadi pertikaian rakyat. Parlimen yang dikuasai parti pemerintah tidak wajar diperalatkan untuk mendapatkan mandat, sebaliknya menyerahkan kepada rakyat menerusi referendum yang mana undi popular atau paling tinggi harus diambil kira kerana ia adalah suara rakyat.

Semalam, undian rakyat Britain memutuskan untuk mengundi keluar daripada EU selepas berada dalam kesatuan itu selama 43 tahun bermula 1973 dengan 52 peratus undian memihak kepada kem ‘keluar’ dan 48 peratus lagi kem ‘kekal’.

[ARTIKEL BERKAITAN: Keluar EU: PM Britain umum letak jawatan]

Dalam kenyataan sama, Muhammad Khalil turut memuji David yang menunjukkan sikap bertanggungjawab dengan kekalahan pihaknya apabila suara rakyat yang mengundi supaya Britain keluar dari dari EU.

“Beliau secara matang berundur dan meletakkan jawatan sekalipun mandat Parti Konservatif belum habis
tempoh dan masih menguasai Parlimen. Beliau sangat menghormati dan akur dengan keputusan rakyat.
"Malaysia juga wajar mengambil contoh terhadap tindakan ini apabila sesuatu isu dan dasar bercanggah dengan kepentingan rakyat dan negara,” katanya dalam satu kenyataan,” katanya.

Namun pihaknya turut melahirkan kebimbangan kesan keputusan Britain itu kepada pasaran saham dunia.
“Apa yang dibimbangi Pemuda Pas adalah pelaburan-pelaburan utama kerajaan melalui PNB (SP Setia) dan KWSP di Britain yang dijangka terkesan dengan keputusan Brexit sama ada dalam tempoh terdekat atau jangka panjang. Pun begitu, kami yakin pihak terbabit telah pun mengambil langkah yang perlu untuk mengatasi masalah ini.

“Pemuda mahukan kerajaan bersedia dengan segala kemungkinan dan ketidaktentuan ini, agar ia tidak menjadi alasan kerajaan terus menekan rakyat,” katanya.


Tiada ulasan: