Khamis, 18 Februari 2016

Selesaikan dulu isu lambakan pekerja asing sedia ada, tegas Pemuda PAS

ANTARAPOS.COM


Post Pic
 
 
 
SHAH ALAM: Langkah kerajaan untuk membawa masuk 1.5 juta pekerja warga Bangladesh ke negara ini bukan satu langkah bijak kerana dikhuatiri mengakibatkan kebanjiran 'melampau' apatah lagi dengan lambakan Pendatang Asing Tanpa Izin (PATI) yang sedia ada, tegas Dewan Pemuda PAS Pusat (DPPM).
 
Menurut Timbalan Ketuanya, Muhammad Khalil Abdul Hadi, apa yang lebih menggusarkan adalah kemasukan pekerja Bangladesh dengan jumlah yang besar kali ini tidak terhad untuk sektor pembinaan dan perladangan saja, malah diluluskan juga kepada sektor perkhidmatan dan juga pembuatan atau perkilangan.
 
"Menurut Menteri Sumber Manusia Datuk Seri Richard Riot Jaem pada November 2014, jumlah pekerja asing didalam negara samada yang sah atau pun tidak berjumlah seramai 6.7 juta orang dengan hanya sejumlah 2.1 juta orang sahaja yang mempunyai permit sah dan berdaftar dengan Jabatan Imigresen.
 
"Dengan jumlah seramai itu ditambah pula dengan kemasukkan warga kerja Bangladesh seramai 1.5 juta orang, ianya melebihi daripada jumlah populasi etnik kaum cina dari kalangan warganegara berdasarkan sumber daripada Jabatan Perangkaan iaitu sebanyak 6.64 juta orang serta boleh menyebabkan ketidak seimbangan pola populasi penduduk di dalam negara," katanya dalam satu kenyataan hari ini.
 
Walaupun kerajaan menyatakan kemasukan berkenaan sebagai menampung kekurangan tenaga kerja di sektor 3D iaitu bahaya, kotor dan sukar, namun ujar Khalil, keadaan berkenaan terlalu sukar diterima memandangkan jumlah mereka yang terlalu ramai sehingga melebihi keperluan semasa pekerja asing di dalam negara.  
 
Oleh itu kata Khalil, sudah tiba masanya kerajaan memikirkan jalan terbaik bagi mengatasi permasalahan tersebut serta mengkaji semula polisi pengambilan tenaga kerja warga asing.
 
"Kerajaan seharusnya memikirkan cara terbaik untuk manfaat rakyat dan negara seperti mengurangkan kebergantungan negara kepada tenaga kerja asing dalam pelbagai sektor didalam negara dan mewujudkan peluang pekerjaan kepada rakyat tempatan serta dalam masa sama mengurangkan kadar inflasi didalam negara.
 
"Kerajaan juga perlu mengklasifikasikan semula sektor-sektor yang dibenarkan menggaji pekerja asing tanpa menjejaskan peluang anak tempatan dalam mendapat pekerjaan. 
 
"Kerajaan juga perlu menggalakkan majikan mengambil pekerja tempatan untuk menggantikan pekerja asing seperti sektor pembuatan dan perkhidmatan, menetapkan jumlah atau kouta sejumlah pekerja asing di dalam setiap industri serta sektor pekerjaan," ujarnya. 
 
Ujar Khalil lagi, dengan menambah jumlah warga asing yang ada seolah-olah menunjukkan kerajaan tidak peka dengan permasalahan di dalam negara seperti pemberhentian kerja, penutupan operasi syarikat dan kesukaran mendapat pekerjaan di kalangan anak tempatan yang terpaksa bersaing dengan warga asing untuk mencari sesuap nasi di negara sendiri.  


Tiada ulasan: