Khamis, 18 Februari 2016

Mahkamah tolak rayuan 4 aktivis ketepi hukuman denda

MALAYSIAKINI




Mahkamah Tinggi di Johor Bahru hari ini, menolak rayuan empat aktivis sosial untuk mengetepikan perintah denda RM5,000 diputuskan Mahkamah Sesyen Johor Bahru, terhadap kesalahan menganjur dan menyertai perhimpunan di tempat larangan, tiga tahun lepas.

Pesuruhjaya Kehakiman Datuk Dr Sabirin Ja'afar, bagaimanapun, mengurangkan jumlah denda terbabit terhadap Koh Jit Huat, 55, Steven Choong, 58, Mohd Salleh Ahmad, 64, dan Thomas Fann, 54, kepada RM1,500 setiap seorang atau sebulan penjara jika gagal membayar denda itu.

Dalam penghakimannya, Sabirin berkata, mahkamah berpendapat Hakim Mahkamah Sesyen Muhammad Jamil Hussin mempunyai kelebihan dalam meneliti dapatan saksi ketika perbicaraan dilakukan sekaligus dapat menilai kes secara telus.

"Saya tidak menjumpai sebarang sebab untuk meminda sebarang keputusan kerana semua dapatan terhasil daripada penelitian secara halus oleh hakim di Mahkamah Sesyen," katanya.

Menurutnya, mahkamah mengambil perhatian bahawa perhimpunan yang diadakan itu berjalan secara aman dan tiada sebarang kecederaan.

Prosiding hari ini dikendalikan Ketua Unit Pendakwaan Saiful Edris Zainuddin manakala keempat-empat perayu diwakili peguam John Fernandez, Hassan Karim dan Jimmy Puah.

Koh, Choong, Mohd Salleh, dan Fann, masing-masing dijatuhi hukuman denda RM5,000 oleh Mahkamah Sesyen Johor Bahru pada 15 Januari 2015 selepas didapati bersalah menganjur dan menyertai 'Perhimpunan Bebaskan Adam Adli' di tempat larangan iaitu stesen minyak atau pada jarak 50 meter dari kawasan terbabit.

Perbuatan terbabit didakwa dilakukan di Stesen Minyak Esso, Jalan Tun Abdul Razak, di sini, pada 9 malam, 21 Mei 2013 dan kesemua mereka didakwa mengikut Seksyen 4(2)(b) Akta Perhimpunan Aman 2012.

Kesemua mereka memfailkan rayuan menerusi ketiga-tiga peguam yang sama, di Mahkamah Tinggi, di sini, pada 22 Jan 2015 bagi mengetepikan keputusan Mahkamah Sesyen berkenaan.- Bernama


Tiada ulasan: