Sabtu, 20 Februari 2016

Mahkamah kekalkan pembebasan suami eksekutif TV9 daripada tuduhan bunuh isteri

ANTARAPOS.COM


Post Pic
 
 
 
PUTRAJAYA: Mahkamah Rayuan hari ini memutuskan untuk mengekalkan pembebasan suami kepada eksekutif pentadbiran TV9, Nur Syaleza Jaffar, daripada tuduhan membunuh wanita itu empat tahun lalu. 
 
Tiga panel yang terdiri daripada Hakim Mahkamah Rayuan, Datuk Tengku Maimun Tuan Mat, Datuk Seri Zakaria Sam dan Hakim Mahkamah Tinggi Datuk Kamardin Hashim sebulat suara memutuskan keputusan itu. 
 
Mahkamah membuat keputusan itu selepas menolak rayuan pendakwa yang tidak berpuas hati dengan keputusan Mahkamah Tinggi Shah Alam membebaskan dan melepaskan bekas eksekutif bahagian teknologi maklumat syarikat gas dan minyak, Norazman Bashah Ahmad Azam Bashah, pada 28 Mei tahun lalu.
 
Mahkamah Tinggi membebaskan Norazman Bashah selepas mendapati kelemahan siasatan dan kegagalan pakar perubatan forensik mengesahkan sama ada Nur Syaleza dijerut sampai mati atau menggantung dirinya.
 
Norazman Bashah dituduh membunuh Nur Syaleza, 31, di kediaman mereka di Apartmen Saujana, Jalan PJU 10/1C, Damansara Damai, Petaling Jaya, antara 12 tengah hari dan 7.30 malam, 28 Julai 2012. 
 
Dia didakwa mengikut Seksyen 302 Kanun Keseksaan yang boleh dihukum mati mandatori jika sabit kesalahan.
 
 

Tiada ulasan: