KOTA BHARU,  Pas tidak akan menerima tawaran kerjasama politik seperti yang dicadangkan oleh Presiden Umno, Datuk Seri Najib Razak kecuali Umno menukar dasarnya kepada Islam, kata Ketua Dewan Pemuda Pas Kelantan (DPPK), Ahmad Fadhli Shaari.

Beliau berkata, selagi Umno tidak mempraktikkan ajaran Islam dalam amalan berpolitik dan pentadbiran, Pas tidak akan menerima tawaran itu.

“Dengan situasi Umno  dalam pentadbiran negara hari ini sebagaimana yang ditegaskan oleh Presiden Pas, Datuk Seri Abdul Hadi Awang, bahawa tiada ruang untuk penyatuan Umno dan Pas.

“Adapun tawaran Presiden Umno kepada Pas untuk bergabung membuktikan pengiktirafan Umno sendiri bahawa Pas berada di landasan yang betul,” katanya dalam kenyataan hari ini.

Beliau berkata, disebabkan tidak ada kekurangan dalam perjuangan Pas, maka Umno membuat tawaran sedemikian.

Katanya, Umno tidak mungkin akan bertindak sedemikian (bekerjasama) jika Pas tidak betul.

“Tiada apa-apa yang kurang di dalam perjuangan Pas di mata Umno sehingga tawaran bergabung ini ditawarkan. Ini kerana adalah tidak logik Umno mahu mengajak parti yang tidak baik di mata mereka untuk bergabung.

“Justeru, tiada sebab untuk ahli Umno menolak Pas di dalam pilihanraya umum yang akan datang.

“Walau bagaimanapun di pihak Pas, Umno tetap salah selagi mana urus tadbir parti dan negara tidak berasaskan kepada Islam,” katanya.

Dalam ucapan dasarnya pada Khamis, Najib secara terbuka menghulurkan tali silaturahim kepada Pas untuk bekerjasama dengan parti itu, selepas parti Islam itu tidak lagi bersama pembangkang.

Bagaimanapun, Abdul Hadi dalam satu kenyataan kemudian menegaskan mereka masih lagi mempunyai tahaluf siyasi dengan PKR walaupun sudah tidak sehaluan dengan DAP.

Abdul Hadi juga turut membuat seruan, kini masa yang sangat sesuai untuk Umno kembali kepada Islam dan mengamalkan cara hidup Islam dalam segenap sendi perjuangannya, sama ada politik, sosial mahupun ekonomi.