Jumaat, 25 Disember 2015

#ShutdownJalanDuta: Polis akan ambil tindakan undang-undang

Surat makluman bagi memohon permit itu dihantar selepas waktu pejabat dan telah menyebabkan ia ditolak



showdawn


PETALING JAYA: Polis akan mengambil tindakan undang-undang terhadap pihak yang merancang mahu mengadakan tunjuk perasaan bagi membantah kenaikan kos sara hidup pada malam Tahun Baru 2016.

Ketua Polis Negara, Tan Sri Khalid Abu Bakar mempersoalkan dakwaan yang dibuat oleh Pengerusi Jawatankuasa Bertindak `#ShutdownJalanDuta’, Shazni Munir Mohd Ithnin mengenai surat makluman yang dihantar oleh pihaknya pada jam 6.30 petang telah ditolak oleh polis atas alasan dihantar di luar waktu pejabat.

“Janganlah buat alasan berbagai..undang-undang kata perlu beri notis. Patuhilah. Kenapa pilih 6.30 petang baru nak hantar.

“Kenapa tak hantar sebelum tu..Jika mereka engkar, tindakan akan diambil…Berani buat beranilah tanggung,” katanya kepada FMT.

Beliau berkata demikian ketika diminta mengulas mengenai dakwaan yang dibuat oleh Shazni bahawa pihaknya akan meneruskan tunjuk perasaan membantah kenaikan kos sara hidup pada malam Tahun Baru 2016 tanpa surat makluman kepada polis.

Shazni berkata, pihak jawatankuasa penganjur cuba membuat serahan surat makluman berkenaan di Ibu Pejabat Polis Daerah Brickfields pada jam 6.30 petang Selasa, tetapi ditolak atas alasan ia dihantar di luar waktu pejabat.

Shazni turut mendakwa bahawa usaha untuk memohon permit merupakan tindakan sia-sia, kerana polis boleh menyalahguna kuasa mereka untuk menghalang perhimpunan daripada diadakan.

Mengulas lanjut, Khalid berkata, sekiranya pihak #ShutdownJalanDuta mematuhi undang-undang, polis tidak akan menghalang perhimpunan yang akan diadakan.

“Kalau patuhi undang-undang, kenapa pula kita nak halang. Dia saja cari alasan ni..buatlah dan bersedia hadapi undang-undang,” tegasnya.

#ShutdownJalanDuta merupakan gabungan aktivis anak muda, reformis dan mahasiswa yang merancang untuk menyambut tahun baru 2016 di perkarangan Plaza Tol Jalan Duta bagi membantah kenaikan kos sara hidup dibawah pentadbiran Barisan Nasional.

Demostrasi dijadualkan bermula pada jam 9 malam, 31 Disember.

Tiada ulasan: