Khamis, 24 Disember 2015

#ShutdownJalanDuta diteruskan tanpa makluman kepada polis

 
Penganjur umum 17,000 bakal turun ke himpunan itu nanti


#ShutdownJalanDuta


PETALING JAYA: Tunjuk perasaan bantah kenaikan kos sara hidup pada malam Tahun Baru 2016 akan diteruskan tanpa surat makluman kepada polis, kata Pengerusi Jawatankuasa Bertindak #ShutdownJalanDuta Shazni Munir Mohd Ithnin.

“Kita telah mencuba untuk menemui pihak polis dan kita tidak akan menghantar (surat makluman perhimpunan) lagi,” kata Shazni ketika dihubungi FMT.

Pihak jawatankuasa cuba membuat serahan di Ibu Pejabat Polis Daerah Brickfields pada jam 6.30 petang Selasa, tetapi ditolak atas alasan ia dihantar di luar waktu pejabat.

“Alasan ini langsung tidak boleh diterima! Akta Perhimpunan Aman (APA) langsung tidak menyatakan bahawa pemakluman perlu dilakukan dalam waktu pejabat,” katanya.

Shazni berkata mereka akan cuba menarik penyertaan seberapa ramai orang yang mungin dan menambah setakat ini seramai 17,000 orang mengesahkan kehadiran.

“Kita mempunyai 17,000 orang yang menandatangani petisyen online dan mereka ini yang akan turun (ke perhimpunan aman),” katanya.

Beliau, yang juga Naib Ketua Pemuda Parti Amanah Negara (Amanah) menegaskan tunjuk perasaan mereka adalah sah kerana APA menyatakan permit tidak diperlukan untuk berhimpun, sekadar memaklumkan kepada polis sebelum ia dianjurkan, dan menambah mereka akan memaklumkan kepada polis secara lisan.

Shazni berkata usaha untuk memohon permit merupakan tindakan sia-sia, kerana polis boleh menyalahguna kuasa mereka untuk menghalang perhimpunan daripada diadakan.

“Polis akan mengaku terima permohonan kita dari tarikh yaqng dihantar dan itu memberi masa kepada mereka untuk mencari alasan untuk menyekat kita,” katanya.

#ShutdownJalanDuta merupakan gabungan aktivis anak muda, reformis dan mahasiswa yang merancang untuk menyambut tahun baru 2016 di perkarangan plaza tol Jalan Duta bagi membantah kenaikan kos sara hidup dibawah pentadbiran Barisan Nasional.

Demo dijadualkan bermula pada jam 9 malam, 31 Disember.

Tiada ulasan: