Selasa, 8 Disember 2015

Shafie Apdal mahu tuntut hak berucap di PAU

 
Beliau akan membangkitkan perkara itu dalam mesyuarat Majlis Tertinggi UMNO yang akan diadakan esok (Rabu).


Shafie-Apdal,umno


KUALA LUMPUR: Naib Presiden UMNO, Datuk Seri Mohd. Shafie Apdal tidak akan berdiam diri pada mesyuarat Majlis Tertinggi (MT) yang akan diadakan esok, sebaliknya akan membangkitkan isu beliau dan Timbalan Presiden UMNO yang dilarang berucap.

Ujarnya, beliau akan berbuat demikian, sekiranya Pemuda, Puteri dan Wanita mahukan ketua masing-masing berucap sekaligus merasmikan persidangan sayap-sayap itu.

“Mesyuarat esok kita masih tidak dengar sebarang cerita. Sehingga kini agenda mesyuarat esok masih belum didedah, cuma apa yang saya dengar adalah akan dibincangkan sama ada boleh berucap atau tidak.

“Jika Wanita, Puteri dan Pemuda minta untuk berucap, maka saya juga mahu hak yang sama diberikan kepada saya dan Timbalan Presiden (berucap pada penggulungan) ” katanya dalam satu sidang media di Seri Hartamas pada Selasa.

Perhimpunan Agung UMNO kali ke-69 dijadualkan bermula pada Selasa hingga Sabtu ini.

Bekas Menteri Kemajuan Luar Bandar dan Wilayah itu menjelaskan situasi yang dialami oleh UMNO kini jauh berbeza dan adalah sukar menyatakan sama ada parti itu masih mempunyai harapan untuk membela nasib bangsa Melayu.

“Kita berharap, kerana itu sahaja yang boleh kita lakukan. Realiti dan cabaran yang dilalui sekarang cukup tinggi.

“Bayangkan pada Pilihan Raya Umum ke-14 (PRU Ke-14) ini, undi dari orang muda akan bertambah,” katanya memberi indikasi hala tuju UMNO pada pilihan raya akan datang.

Baginya, jika UMNO mahu terus berkuasa dan memimpin Barisan Nasional, parti Melayu itu harus bekerja dengan lebih kuat dan isu-isu berbangkit perlu di atasi segera.

Isu-isu yang dipercayai harus diselesaikan segera adalah isu kontroversi syarikat 1Malaysia Development Berhad (1MDB) dan isu mengenai wang derma dari dermawan Timur Tengah berjumlah RM2.6 bilion yang dimasukan ke dalam akaun peribadi Perdana Menteri, Datuk Seri Najib Razak.

Tiada ulasan: