Ahad, 6 Disember 2015

Selepas titah sultan, peniaga vape Johor bimbang jadi penganggur



5ive Gadget, sebuah kedai menjual barangan vape  di Batu Pahat, Johor.  Pengusahanya Md Rizal Sajari kini bimbang akan rugi dan tidak dapat pulangan modal berjumlah ratusan ribu yang dibelanjakannya, susulan pengharaman vape di seluruh Johor. – Gambar Facebook 5ive Gadget, 6 Disember, 2015.5ive Gadget, sebuah kedai menjual barangan vape di Batu Pahat, Johor. Pengusahanya Md Rizal Sajari kini bimbang akan rugi dan tidak dapat pulangan modal berjumlah ratusan ribu yang dibelanjakannya, susulan pengharaman vape di seluruh Johor. – Gambar Facebook 5ive Gadget.Titah Sultan Johor mengharamkan penggunaan rokok elektronik atau vape di negeri itu mendapat pelbagai reaksi, terutama golongan peniaga, sama ada yang sudah lama bertapak atau menjalankan perniagaan kecil-kecilan.

Antara yang terkesan ialah peniaga vape yang sudah melaburkan modal puluhan ribu ringgit menceburi industri popular itu sejak kebelakangan ini.

Khairul Azmi (bukan nama sebenar), berhijrah meninggalkan ibu kota dan pulang ke kampung halamannya di Batu Pahat, Johor semata-mata untuk memulakan perniagaan vape secara kecil-kecilan.

Bagi memulakan perniagaannya, Khairul, 40, sanggup mengorbankan perniagaannya di "Uptown Cheras" yang diusahakan sejak 10 tahun dahulu. 
 
"Saya jual perniagaan pakaian 'bundle' saya di Kuala Lumpur dan dapat sekitar RM75,000, sebelum berhijrah ke kampung," katanya merujuk kepada pakaian berjenama terpakai.

"Untuk kedai di Batu Pahat sahaja, saya habiskan kira-kira RM20,000 untuk kerja ubah suai."

Menurut Khairul, beliau sudah menghabiskan kira-kira RM30,000 bagi memulakan perniagaannya.

"Dan, saya dah tempah 1,000 botol (pelbagai) perisa daripada pembekal.

"Tetapi bila jadi macam ini, saya terpaksa hentikan niat saya. Saya sudah tiada kerja dan jadi penganggur," katanya sambil mengeluh kerana pada masa sama, sewa kedai tetap perlu dibayar sebanyak RM1,000 sebulan.

Peniaga Melayu ramai akan 'bungkus'
 
Keluhan Khairul itu susulan titah Sultan Ibrahim Sultan Iskandar pada 29 November mengharamkan kedai menjual vape di seluruh Johor dan memberi tempoh sehingga 1 Januari akan datang kepada pekedai bagi menghentikan operasi.

Seorang lelaki menghembuskan asap vape di Vape Fair di Kuala Lumpur, semalam. Kebanyakan peniaga dan pengguna vape adalah orang Melayu. – Gambar The Malaysian Insider oleh Afif Abd Halim, 6 Disember, 2015.Seorang lelaki menghembuskan asap vape di Vape Fair di Kuala Lumpur, semalam. Kebanyakan peniaga dan pengguna vape adalah orang Melayu. – Gambar The Malaysian Insider oleh Afif Abd Halim.Menurut baginda, Johor berhak menggunakan undang-undang kerajaan tempatan bagi menguatkuasakan arahan itu dan tidak mahu mendengar sebarang alasan, sambil menambah, keputusannya itu adalah disebabkan faktor kesihatan.

"Ia ada kaitan dengan isu kesihatan dan kesannya kepada golongan muda, bukan melibatkan perniagaan atau perkauman," Sultan Ibrahim dilaporkan bertitah.

Khairul mengakui, perniagaan vape majoritinya dimiliki orang Melayu yang kini menerima kesan sangat besar akibat tindakan penguatkuasaan Putrajaya sebelum ini dan terbaharu, titah sultan.

"Ramai dulu mula meniaga kecil-kecilan. Dan bila saya nampak boleh buat untung, saya nak cuba.

"Perniagaan ini ramai Melayu yang buat. Tetapi sekarang ini memang sudah jadi masalah," katanya yang mengikut rancangan asalnya akan memulakan perniagaan pada 1 Disember.

"Pada saya, kerajaan perlu kawal nikotin. Maknanya, jangan jual nikotin. Kalau hendak nikotin, kena beli dengan kerajaan atau farmasi berdaftar. Kami boleh patuh," kata Khairul merujuk keputusan Kementerian Kesihatan.

Ketua Pengarah Kesihatan, Datuk Dr Noor Hisham Abdullah berkata pada 9 November, cecair vape yang mengandungi nikotin hanya boleh dijual ahli farmasi berlesen dan pengamal perubatan berdaftar, kerana penjualan nikotin oleh pihak lain adalah salah mengikut Akta Racun 1952.

Menurut Khairul, ramai peniaga di Batu Pahat turut buntu dan berharap mereka diberi peluang sekurang-kurangnya menjual barangan itu untuk memperolehi semula modal mereka.

Cecair vape yang mengandungi nikotin hanya boleh dijual ahli farmasi berlesen dan pengamal perubatan berdaftar. – Gambar fail The Malaysian Insider, 6 Disember, 2015.Cecair vape yang mengandungi nikotin hanya boleh dijual ahli farmasi berlesen dan pengamal perubatan berdaftar. – Gambar fail The Malaysian Insider.Turut bersetuju dengannya ialah Md Rizal Sajari, 36, pengusaha kedai 5ive Gadget di Batu Pahat, yang sudah hampir 2 tahun berniaga secara serius dalam bidang ini.

Bermula secara kecil-kecilan pada 2011, Rizal kini mempunyai dua kedai yang dibuka sejak 2014.

"Kalau kena tutup kedai, ramai akan menganggur. Saya ada 6 pekerja. Itu belum pekerja separuh masa.

"Untuk set up kedai, untuk ubah suai sahaja, saya dah habiskan RM50,000. Itu belum lagi untuk stok barang saya.

"Stok barang sekarang saya ada mencecah RM500,000 dan saya ada 528 jenis. Bayangkan kalau satu perisa saya ada 100 botol, berapa jumlah saya ada?" soal Rizal yang membekalkan peniaga kecil-kecilan di Batu Pahat, Muar dan Johor Baru.

Disebabkan permintaan yang mendadak beliau menambah bilangan stok 6,000 botol cecair pelbagai perisa setiap minggu.

"Disebabkan permintaan yang mendadak, saya akan 'restock' 6,000 botol dan bekalkan kepada peniaga lain selain jual secara terus kepada pengguna," katanya yang turut mendedahkan margin keuntungan yang diperolehi mencecah 30%.

Rizal turut memberitahu faktor beliau mengambil stok peralatan dan perisa disebabkan permintaan tinggi setiap bulan dan dapat mengurangkan kos.

"Setiap bulan ada sahaja permintaan. Lagipun kalau saya import barangan vape dari luar negara lebih banyak. Saya akan dapat kurangkan kos hampir 20%," katanya kepada The Malaysian Insider.

Untuk itu, Rizal berharap pihak berkuasa tidak meneruskan niat mengharamkan perniagaan vape.

"Bagi saya, kami sangat terkesan dan kurang setuju. Berilah peniaga seperti kami ini sekurang-kurang balik modal kami, untuk jual semua.

"Bila kena tutup kedai, mana kami nak kerja?" soalnya yang turut memberitahu terdapat kira-kira 20 premis kedai di sekitar Batu Pahat dan hampir 60 premis di Johor Baru.

Awal bulan lalu, Menteri Luar Bandar dan Wilayah Datuk Seri Ismail Sabri Yaakob dilaporkan mempertahankan vape dan tidak bersetuju dengan penguatkuasaan Kementerian Kesihatan, mengatakan ia akan memberi kesan kepada kehidupan ramai peniaga kecil Melayu.

Kenyataan beliau dibuat selepas satu kumpulan mewakili peniaga kecil dan sederhana membuat laporan polis dan memberi amaran Barisan Nasional (BN) bakal kehilangan sejuta undi pada pilihan raya umum akan datang jika pihak berkuasa terus mengambil tindakan keras terhadap industri vape.

Bagaikan cendawan yang tumbuh, industri vape di Malaysia semakin berkembang dengan pertambahan mendadak sama ada peniaga mahupun pengguna.

Laporan berita sebelum ini memetik Ibrahim Mohamed, penganjur bersama Konvesyen Vaporizer Kuala Lumpur 2015, yang mendakwa industri vape di Malaysia adalah yang kedua terbesar selepas Amerika Syarikat.

Malaysia juga dianggap sebagai industri terbesar di Asia berdasarkan permintaan terhadap produk rokok elektronik buatan Malaysia.


Tiada ulasan: