Khamis, 24 Disember 2015

RUU MKN: Agong tiada kuasa isytihar darurat

Yang di-Pertuan Agong Tuanku Abdul Halim Mu'adzam Shah
Yang di-Pertuan Agong Tuanku Abdul Halim Mu'adzam Shah. - Foto Bernama


SHAH ALAM - Ahli Parlimen Batu, Tian Chua mendakwa Yang di-Pertuan Agong akan  kehilangan kuasa untuk isytiharkan darurat apabila Rang Undang-undang (RUU) Majlis Keselamatan Negara (MKN) diluluskan Dewan Negara, semalam.

Beliau berkata walaupun sebelum ini baginda akan meminta nasihat daripada Perdana Menteri, namun sebaik sahaja undang-undang itu diluluskan, perkenan Agong tiada kuasa isytihar darurat.

"Sekarang ini tidak, dengan undang-undang ini, baginda tidak terlibat, hanya Perdana Menteri yang isytiharkan.

"Kalau pindah kuasa ini ke tangan Perdana Menteri,ini adalah tindakan secara tidak langsung mengetepikan kuasa Agong," katanya kepada Sinar Online, hari ini.

Semalam, Dewan Negara telah meluluskan RUU MKN 2015 yang memperuntukkan 15 kuasa khas bagi penubuhan MKN serta pasukan keselamatan mengawal dan menyelaras operasi berkaitan keselamatan negara.

Perkara itu diumumkan oleh Yang Dipertua Dewan Negara Tan Sri Abu Zahar Ujang pada jam 8.20 malam sambil berkata undang-undang itu diluluskan berdasarkan undian suara dengan lebih ramai yang menyokong berbanding yang membantah.

Rang itu telah dibahas begitu hebat oleh 37 senator baik daripada BN mahupun daripada pembangkang sepanjang persidangan.

Menteri di Jabatan Perdana Menteri Datuk Seri Dr Shahidan Kassim ketika menggulung RUU itu berkata tidak timbul isu Perdana Menteri mengambil kuasa Yang di-Pertuan Agong seperti yang menjadi kebimbangan banyak pihak sebelum ini.

Mengulas lanjut,Tian Chua selaku Naib Presiden PKR juga mempertahankan kebimbangan pemimpin pembangkang sebelum ini bahawa RUU itu boleh mengundang penyalahgunaan kuasa.

"Dalam keadaan sekarang, tafsiran pula sangat longgar dan kabur, ia boleh digunakan untuk kepentingan politik dan ini tidak wajar.

"Sungguhpun penyokong BN yakin terhadap Perdana Menteri sekarang, tapi kita tak boleh pastikan ada ahli-ahli politik akan datang berkemungkinan menggunakannya untuk mempertahankan kedudukan peribadi," ujarnya.

Beliau berkata, penggunaan istilah kabur dalam RUU itu sebenarnya untuk memindahkan kuasa mengisytiharkan kuasa darurat kepada MKN.

"Sungguhpun kawasan keselamatan tidak dinamakan darurat, tapi semua kuasa yang ada kepada MKN itu ialah kuasa darurat.

"MKN berhak mengisytiharkan sesuatu kawasan itu sebagai kawasan keselamatan, maksudnya kawasan darurat lah. Dia boleh main dengan istilah dengan mengatakan ini kawasan keselamatan, tapi maksudnya sama," dakwanya lagi.


Tiada ulasan: