Sabtu, 19 Disember 2015

PERKASA sindir Umno?







Genap seminggu selepas Umno menamatkan perhimpunan agung tahunannya - dan timbalan presiden parti itu dilarang berucap - hari ini pertubuhan PERKASA tampil dengan sindiran tajam.

Menolak kebiasaan, persidangan khas tahunan sayap Wira pertubuhan berkenaan yang biasanya dirasmikan oleh pemimpin tertinggi, hari ini dirasmikan oleh naib presidennya saja.

Dalam ucapan perasmiannya, Naib Presiden PERKASA Syed Osman Syed Mansor berkata pertubuhan berkenaan membuktikan mereka bersifat inklusif dan bukan seperti "pertubuhan lain".

"PERKASA ni lain sikit daripada pertubuhan lain apabila seorang naib presiden boleh rasmikan mesyuarat sayap.

"Ada sesetengah pertubuhan, naib presiden pun tak boleh merasmikan sayapnya," katanya tanpa menamakan mana-mana pertubuhan dimaksudkan.

Keyataan itu dibuat Syed Osman ketika beliau merasmikan Persidangan Khas Tahunan Wira PERKASA 2015 di ibu negara.

Minggu lalu ketika persidangan tahunan Umno berlangsung salah seorang pemimpin tertinggi parti itu, Tan Sri Muhyiddin Yassin, tidak diberi ruang untuk berucap seperti selalu.

Mengikut kebiasaan, seorang timbalan presiden diberi penghormatan merasmikan mesyuarat sayap pemuda, wanita dan puteri, selain peluang menggulung perbahasan di akhir hari persidangan.

Namun Muhyiddin yang diketepikan - dan berasa dirinya mahu dijadikan 'tunggul' - tidak mendapat peluang itu kali ini.

Umno kini berdepan dengan kritikan pelbagai pihak termasuk dari dalam parti itu sendiri.

Muhyiddin adalah salah seorang tokoh yang dilihat berani menongkah arus dan berselisih pendapat dengan bosnya, Datuk Seri Najib Razak.

Turut berpendirian begitu ialah bekas perdana menteri Tun Dr Mahathir Mohamad.

PERKASA kini dipimpin Datuk Ibrahim Ali yang juga salah seorang penyokong tegar Dr Mahathir.


Tiada ulasan: