Jumaat, 11 Disember 2015

Penumpang Malaysia Airports susut kepada 6.8 juta

Malik Ridhwan, Astro Awani
 
Penumpang Malaysia Airports susut kepada 6.8 juta
MAHB berkata sektor antarabangsa dan domestik masing-masing mencatatkan penurunan. - Foto BERNAMA'
 
 
Sepang: Lapangan terbang Malaysia mencatatkan 6.8 juta penumpang, susut sebanyak 2.7 peratus bagi November 2015 tahun ke tahun berbanding tahun lepas.

Menurut Bernama, Malaysia Airports Holdings Berhad (MAHB) berkata sektor antarabangsa dan domestik masing-masing mencatatkan penurunan.

Sektor antarabangsa mencatatkan 3.2 juta penumpang, 1.2 peratus lebih rendah daripada tahun lepas manakala sektor domestik mencatatkan 3.6 juta penumpang.

Secara keseluruhan, pergerakan pesawat turut susut sebanyak 5.7 peratus.

Walau bagaimanapun, pergerakan penumpang di klia2 meningkat sebanyak 11 peratus.

Sementara itu, Pengarah Urusan MAHB Datuk Badlisham Ghazali berkata, kemerosotan trafik ini turut dipengaruhi oleh pengurangan laluan dan kekerapan oleh Malaysia Airlines Berhad yang sedang melaksanakan penstrukturan semula.

Badlisham turut berkata penurunan harga bahan api memberi kelebihan kepada syarikat penerbangan walaupun faktor muatan yang dicatatkan tidak memuaskan.
“Harga bahan api yang menurun akan membantu syarikat penerbangan. Kita tahu kira-kira 40 peratus kos operasi syarikat penerbangan adalah untuk bahan api.

“Ini akan membantu keuntungan syarikat dan memberi peluang kepada mereka untuk membuka laluan baru atau meningkatkan kekerapan walaupun faktor muatan tidak setinggi yang mereka harapkan,” kata Badlisham ketika ditemui Astro AWANI selepas acara ketibaan pesawat Boeing 787-9 Dreamliner British Airways di KLIA pada Khamis. 
 
 

Tiada ulasan: