Khamis, 24 Disember 2015

Pengusaha cadang semakan harga minyak mingguan

 
Timbalan Menteri Kewangan berkata syarikat minyak mengambil kesempatan dari sistem semakan bulanan


Johari Abdul Ghani


PETALING JAYA: Persatuan Pengusaha Stesen Minyak Malaysia (PDAM) mencadangkan kepada Kementerian Kewangan supaya menyemak harga minyak secara mingguan mengikut harga pasaran, dengan perbezaan harga maksima 5 sen.

Timbalan Menteri Kewangan Johari Abdul Ghani dalam satu kenyataan yang diterima FMT pada Khamis berkata persatuan menemui beliau baru-baru ini dan mengadu mengenai sistem pengapungan harga sedia-ada yang dibuat secara bulanan.

Dibawah sistem sekarang, syarikat-syarikat minyak menggunakan kesempatan dengan menghantar bekalan minyak kepada pengusaha-pengusaha minyak dengan menghantar bekalan pada kuantiti yang banyak setiap hujung bulan jika mereka jangkakan harga runcit akan jatuh pada bulan seterusnya.

Sebaliknya, jika harga runcit dijangkakan akan naik, mereka akan mengurangkan bekalan minyak pada setiap hujung bulan seterusnya.

“Perkara ini jika tidak dikawal ianya akan menyebabkan lebih 3200 pengusaha stesen minyak akan mengalami kerugian, dimana 70 peratus pengusaha ini terdiri daripada pengusaha stesen minyak Bumiputra yg dilantik oleh syarikat-syarikat minyak seperti Petronas, Shell, Caltex, Petron dan BHP,” kata Johari.

Menurut Johari, sekiranya cadangan PDAM digunapakai, perubahan harga minyak tidak menjadi terlalu ketara dan akan memanfaatkan pengguna, pengusaha dan syarikat minyak dalam keadaan harga naik atau turun.

Tiada ulasan: