Ahad, 6 Disember 2015

Penempatan warga asing terus warnai pusat bandar Kuala Lumpur



Di beberapa kawasan pusat bandar, papan tanda, sepanduk iklan dan menu restoran biasa dijumpai dalam bahasa negara asal pemilik kedai. – Gambar The Malaysian Insider oleh Raymund Wong, 6 Disember, 2015. 
Di beberapa kawasan pusat bandar, papan tanda, sepanduk iklan dan menu restoran biasa dijumpai dalam bahasa negara asal pemilik kedai. – Gambar The Malaysian Insider oleh Raymund Wong. 
 
 
Satu masa dulu, beberapa lorong sempit di Kuala Lumpur pernah menjadi hab perniagaan dan perdagangan komuniti pendatang paling awal di bandaraya ini.

Leboh Pasar, Medan Pasar, Jalan Yap Ah Loy, Jalan Petaling dan Puduraya dikenali sebagai lokasi peniaga Cina dan India sejak awal kemerdekaan Tanah Melayu.

Dengan reka bentuk neo-klasik, rumah kedai lama di sepanjang Lebuh Ampang, Jalan Hang Kasturi dan Jalan Tun HS Lee dipenuhi pelbagai jenis perniagaan: peminjam wang India Selatan, kedai kain dan restoran masyarakat Cina, dan restoran India yang menghidangkan makanan sama seperti negara asal mereka.

Hari ini, kawasan tersebut menjadi tapak warisan dan berperanan sebagai pengimbas nostalgia kepada kegiatan dan kehidupan pendatang awal Tanah Melayu ke ibu kota. 
 
Sementara lorong tersebut terus mewarnai kehidupan ibu kota, landskapnya mula mengalami perubahan dramatik seiring dengan komuniti warga asing yang berusaha membina kehidupan di sana.

Jalan raya di pusat bandaraya Kuala Lumpur secara berperingkat-peringkat berubah, mencerminkan kemasukan masyarakat pendatang baharu Malaysia dari pelbagai negara seperti Bangladesh, Nepal dan Myanmar.

Seluruh kawasan itu dilihat mengalami perubahan dalam dekad yang lalu. Namun, ibu pejabat Majlis Peguam, beberapa bank, sebuah kedai mi daging yang popular, dan beberapa kedai jam tangan masih kekal sejak awal kemerdekaan.
Sebuah kedai di Leboh Pasar menjual pelbagai barangan makanan India, antara karakter biasa yang ditemui di hab warga asing di Kuala Lumpur. – Gambar The Malaysian Insider oleh Raymund Wong, 6 Disember, 2015.Sebuah kedai di Leboh Pasar menjual pelbagai barangan makanan India, antara karakter biasa yang ditemui di hab warga asing di Kuala Lumpur. – Gambar The Malaysian Insider oleh Raymund Wong.
"Kawasan ini agak strategik kerana kami menggunakan pengangkutan awam dan selalu singgah di sini. Semua barangan di sini juga amat murah," kata Ahmad Mohammed Nur, 28, warga Myanmar yang sudah bekerja di Malaysia selama 9 tahun. 
 
 Kira-kira 200 kedai kini mengisi pusat bandaraya Kuala Lumpur, menjual apa-apa saja barangan seperti makanan, telefon mudah alih, tekstil, video dan barang runcit.

Di sini, papan tanda, sepanduk iklan dan menu restoran biasa dijumpai dalam bahasa negara asal pemilik kedai itu.

Lorong seperti itu menjadi penempatan kebanyakan warga asing, di mana mereka mudah mendapatkan makanan tempatan, boleh masuk ke mana-mana kedai dan bertutur menggunakan bahasa ibunda mereka, selain menonton filem dan melayan irama lagu dari tanah air mereka.

Ia tempat berehat mereka selepas seharian bekerja, dan juga, mungkin, satu-satunya tempat di Malaysia di mana seseorang boleh mencari "paan" yang dijual di atas meja kecil di kaki lima oleh anak muda yang mahir melipat daun sirih dengan buah pinang.

R. Rakesh, 31, dari Nepal, berkata kawasan itu meningkat menjadi hab masyarakat asing kerana kehadiran banyak bank antarabangsa.

"Seperti yang anda lihat, kawasan ini dipenuhi bank antarabangsa. Dan biasanya pekerja asing perlu datang ke sini untuk menghantar wang pulang ke tanah air mereka," katanya.
Walaupun membina penempatan mirip negara asal mereka, kebanyakan pekerja asing masih berazam kembali kepada keluarga yang ditinggalkan. – Gambar The Malaysian Insider oleh Raymund Wong, 6 Disember, 2015.Walaupun membina penempatan mirip negara asal mereka, kebanyakan pekerja asing masih berazam kembali kepada keluarga yang ditinggalkan. – Gambar The Malaysian Insider oleh Raymund Wong.
Rakesh, yang berada di Malaysia sejak beberapa tahun lalu, tidak pasti berapa lama lagi dia akan tinggal di Malaysia. 
Bagaimanapun, seperti kebanyakan pekerja asing di kawasan ini, matlamat akhir mereka ialah kembali kepada keluarga yang ditinggalkan.

Mereka semata-mata mahu menyara kehidupan di negara asal dengan gaji yang diperoleh dalam ringgit Malaysia.

Walaupun persekitaran kawasan ini mirip tanah air mereka, komuniti pendatang baharu ini sedar Kuala Lumpur hanya tempat tinggal sementara buat mereka.

Harapan mereka ialah untuk pulang ke tanah air dengan simpanan yang cukup bagi menikmati kehidupan yang selesa bersama keluarga di kampung halaman.

"Apa pun, kami tahu kami pendatang di sini. Kami hanya mencari rezeki di sini," kata Ahmad.
"Kami masih perlu berhati-hati, kerana kami hanya pekerja asing, bukan warga negara ini. Kami hanya cuba untuk mewujudkan persekitaran kami di sini."


Tiada ulasan: