Ahad, 6 Disember 2015

Pendedahan Mat Sabu perlu disiasat


 Mohamad Sabu
Mohamad Sabu
 
 
ALOR SETAR - Pendedahan Presiden Parti Amanah Negara (Amanah), Mohamad Sabu kononnya Pas diresapi pemikiran kumpulan militan IS perlu disiasat dengan teliti oleh pihak berkuasa.

Pensyarah Kanan Hal Ehwal Politik dan Antarabangsa, Pusat Pengajian Antarabangsa Universiti Utara Malaysia (UUM), Md Shukri Shuib berkata, walaupun dianggap kenyataan bersifat politik, namun ia adalah serius kerana boleh menjadi ancaman kepada negara.

“Beliau yang begitu senior dalam politik harus bertanggungjawab sepenuhnya terhadap kenyataan dan pendedahan yang dikeluarkan itu.

“Jika dakwaan itu tidak benar, maka ia sudah tentu akan memalukan diri sendiri, parti Amanah dan Pakatan Harapan,” katanya kepada Sinar Harian.

Menurutnya, gaya politik tuduh menuduh dan cuba merosakkan parti lawan dengan tohmahan juga tidak harus dijadikan budaya kepimpinan.

“Saya andaikan mungkin Mohamad Sabu ingin menarik perhatian awam terhadap sikap ekstreme dan taksub dalam Pas yang selama ini mungkin disemai pada pengikut hingga menganggap orang yang tidak menyokong Pas seolah-olah kafir dan menolak Islam.

“Sedangkan Umno yang selama ini seolah-olah menjadi mangsa provokasi Pas sanggup bersabar dan tidak menuduh dengan pelbagai tohmahan kepada lawannya,” katanya.

Penganalisis politik itu berkata, Mohamad Sabu atau lebih mesra dengan panggilan Mat Sabu harus menjadikan Umno sebagai model kesabaran dalam menghadapi lawan dengan tidak menuduh sesuka hati.

“Beliau baru sahaja keluar Pas dan menubuhkan parti Amanah, itu pun beliau sudah kelihatan tidak dapat sabar menghadapi Pas.

“Bayangkan pula Umno yang berpuluh tahun menghadapi golongan ini (Pas) yang sentiasa berkempen mahu memusnahkan parti pemerintah itu,” katanya.

Bagaimanapun, Md Shukri menasihatkan Pas supaya tidak mempedulikan kenyataan pimpinan parti Amanah sebaliknya menentukan hala tuju sendiri dan melakukan perubahan murni dengan berhemah dan ilmiah.

“Pas juga harus ubah sikap kepada lebih toleransi dan mesra sesama muslim. Iktibar dari apa yang dinyatakan Mat Sabu harus menjadikan pihak berkuasa, termasuk Pendaftar Pertubuhan (ROS) memantau semua parti politik di negara ini.

“Ia perlu supaya parti politik tidak terjebak dengan unsur radikal dan komunisme yang boleh menakluk idealisme parti ke arah keganasan pemikiran dan tindakan,” katanya.

Sebelum ini, Mat Sabu mendedahkan mereka keluar dari Pas dan bertindak menubuhkan parti baharu kerana ia sudah diresapi pemikiran militan IS.

Md Shukri berkata, pemikiran itu jika tidak dibendung bukan sahaja bahaya kepada Pas, malah kepada keselamatan negara

Tiada ulasan: