Selasa, 8 Disember 2015

Pemuda Umno perlu kembali ke pangkal jalan

 
Barangkali gerakan itu masih komited kepada kepentingan Melayu dan anak muda, tetapi pengaruhnya semakin susut.
 
 
 
Khairy


Pemuda Umno gagah suatu masa dahulu. Gerakan itu membentuk demografi yang keberadaannya mengisi ruang yang besar, bukan sahaja kerana kiraan ahli, tetapi kerana pemimpin mereka tidak gentar bersuara.

Mantan Ketua Pemuda Umno seperti Harun Idris dan Syed Jaafar Albar mengepalai sayap pemuda yang disegani kawan dan digeruni lawan. Langkah yang bengis dikala menuntut kehendak pemuda adakalanya mengoyah kepimpinan tinggi parti.

Namun kepimpinan yang mampu menganggukkan kepala-kepala Umno tidak lagi kelihatan. Seperti yang ditulis bekas pemuda Ahmad Mustapha Hassan dalam memoir beliau, kepimpinan hari ini tidak punya keberanian. Pemuda Umno umpama anak singa tanpa kuku, dipandang enteng ketua sekutu.

Maka, Pemuda Umno hari ini dipinggirkan jemaah tertinggi parti malah tidak lagi menjadi pautan rakyat yang diwakilinya.

Ketuanya, Khairy Jamaluddin, dalam satu temubual berkata sayap itu mahu mengubah trajektori menjadi pertubuhan yang berorientasi khidmat. Walaubagaimanapun, ramai berhujah Pemuda Umno sebaliknya perlu pulang ke pangkal perjuangannya dan memainkan peranan sebagai kumpulan pendesak.

Samada para penyokong Pemuda Umno, terutama dari kalangan muda-mudi di bandar, akan terus bersama sayap itu bilamana ia mulai sedar merupakan satu persoalan yang lain. Kesulitan mengambil ahli baharu di bandar-bandar dan pekan-pekan dikatakan kerana masyarakat di situ tidak prihatin dengan isu-isu Melayu.

Mungkin ada kebenarannya, namun dakwaan itu hanya menuding jari pada faktor luaran. Pemuda Umno tidak mahu akui mereka tidak lagi punyai kepimpinan yang dinamik, serta dasar-dasar baik dan berkesan yang mampu mengembleng sokongan anak muda di bandar dan di desa.

Jurang yang wujud ini bukan salah satu pihak semata-mata. Orang-ramai tidak berminat dengan Pemuda Umno kerana Pemuda Umno tidak lagi bersangkutan dengan memperjuangkan kepentingan mereka.
Khairy menyatakan Pemuda Umno harus mendengar bukan pada “pandangan yang akan memecah-belahkan kita, tetapi pandangan Melayu yang bukan dari kalangan kepimpinan Umno.

” Namun begitu, jika perbincangan sivil dianjurkan sekalipun, pendapat yang bertentangan dengan pandangan Umno tidak diambil-kira. Maka, siapa yang mahu mendengar suara anak-anak Melayu yang tidak peduli politik perkauman?

Barangkali, tiada tempat untuk Melayu yang tidak memenuhi standard Umno, bahkan tempat tidak pernah diberi pada mana-mana orang yang menyuarakan penentangan. Umno dan sayap-sayapnya bergerak bersendi tradisi, tetapi tradisi itu hanya kaedah menangani keadaan di masa lalu. Keadah itu tidak selalunya sesuai digunakan hari ini.

Masyarakat Melayu sedang berubah, termasuk putera-puterinya. Pemuda Umno dan parti induk harus berubah seiring dengannya. Kata-kata muluk tidak lagi mujarab memandangkan orang-ramai mahukan hasil dan jawapan. Khairy dan Pemuda Umno masih lagi mendokong Najib sebagai insan yang “ikhlas”, dan meminta orang-ramai supaya memberi masa kepada Najib menunaikan janji-janjinya.

Bagi Khairy, “keikhlasan” memadai untuk sedikit masa lagi. Walhal, orang lain mahukan kejujuran, ketelusan dan kebertanggungjawaban. Bukankah peluang yang diberi, dan pengawasan yang tiada, menyebabkan Malaysia terjerumus ke kancah hari ini? Bukanlah kita minta setiap keputusan Perdana Menteri itu dikawal semak, tetapi kajian berkala oleh badan-badan yang benar-benar bebas merupakan permulaan yang dialu-alukan.

Pandangan ini bukan mahu menghasut sayap pemuda supaya memberontak. Sebaliknya, memohon kepimpinan yang lebih baik di semua peringkat dan supaya kumpulan-kumpulan pendesak mencorongkan suara kami dengan berkesan. Golongan belia berhak tahu apa yang sedang berlaku di dalam parti. Lagipun, masa depan mereka yang dipertaruhkan sekarang ini.

Tiada ulasan: