Jumaat, 25 Disember 2015

NGO pertikai pesalah rogol dibenar ikat jamin

MALAYSIAKINI


 


Kumpulan hak kanak-kanak hari ini menyatakan rasa tidak senang dengan keputusan membenarkan seorang pegawai polis, yang disabit kesalahan merogol kanak-kanak, diikat jamin.

Kumpulan itu, PS The Children berhujah, pegawai kanan polis yang dihukum penjara 100 tahun dan 15 sebatan itu masih membahayakan orang awam dan kanak-kanak lain.

“Membenarkan ikat jamin boleh mengundang risiko tinggi terhadap kehidupan kanak-kanak dan boleh mendedahkan kanak-kanak lain dalam masyarakat kepada penganiayaan,” kata presiden kumpulan itu Che Nariza Hajjar Hashim.

Bercakap kepada Malaysiakini, beliau berkata tindakan mahkamah itu tidak kena sama sekali dengan mengambil kira jenis kesalahan dilakukan, Deputi Superintenden Rohaizat Abd Ani.

NGO itu berkata mahkamah juga tidak harus berlembut dalam menghukum walaupun itu kesalahan pertama bekas ketua unit kongsi gelap, maksiat dan perjudian (D7) di ibu pejabat kontinjen Sabah itu.

Tindakan lembut, kata Che Nariza, hanya akan menghantar mesej salah kepada masyarakat kononnya tidak mengapa menganiaya kanak-kanak untuk kali pertama.

Rohaizat dilapor dibenar menangguhkan hukuman sementara menunggu keputusan rayuannya di Mahkamah Tinggi.

Dia dibenar ikat jamin sebanyak RM100,000 dengan seorang penjamin serta menyerahkan pasportnya kepada kepada mahkamah.

Rohaizat juga diarah melapor ke ibu pejabat polis Bukit Aman setiap 1 dan 5 hari bulan.

Utusan Malaysia semalam melaporkan Rohaizat dijatuhkan hukuman penjara dan sebatan setelah didapati bersalah oleh Mahkamah Sesyen Kota Kinabalu atas lima pertuduhan merogol serta meliwat seorang remaja yang ketika kejadian berusia 13 tahun, tiga tahun lalu.

Dalam keputusannya, Hakim Ainul Shahrin Mohamad menjelaskan, hukuman itu sebagai pengajaran dan peringatan kepada semua agar menjauhi perbuatan itu.

Ketika menjatuhkan hukuman, hakim turut bersetuju dengan Timbalan Pendakwa Raya, Azeezi Nordin bahawa sebagai pegawai kanan polis, dia harus menjadi penjaga kepada orang ramai dan bukan sebaliknya.

Tiada ulasan: