Jumaat, 25 Disember 2015

MKN: Tiada wakil Sabah, Sarawak; Perjanjian Malaysia 1963 bakal dicabuli?

sabah_sarawak_malaysia_600
Oleh Fatih Hassan Nordin


SARAWAK : Ahli Parlimen Stampin, Tan Kok Ping kesal tiada wakil dari Sabah dan Sarawak yang mengganggotai Majlis Keselamatan Dalam Negera (MKN) walaupun kuasanya melangkaui kedua-dua negeri itu.

“Jika Sarawak diisytihar sebagai kawasan keselamatan, siapa yang akan pertahankan kepentingan rakyat negeri ini jika kerajaan Persekutuan cuba mengunakan MKN untuk menindas mereka?” katanya.

Rang Undang-Undang (RUU) MKN diluluskan Dewan Negara kelmarin dan pelaksanaannya bakal menyaksikan pemberian kuasa yang luas kepada Perdana Menteri dalam mengisytihar kawasan keselamatan termasuk membuat tangkapan.

Ketiadaan wakil Sarawak dan Sabah dikhuatiri berlaku pencabulan Perjanjian Malaysia 1963 yang memberi kuasa automoni untuk mentadbir sedangkan kuasa MKN meliputi kedua-dua negeri itu.

Kok Ping menyifatkan kenyataan Menteri di Jabatan Perdana Menteri, Datuk Seri Shahidan Kassim yang mengatakan tiada keperluan wakil dari Sarawak dan Sabah, seolah-olah memperkecilkan kemampuan rakyat negeri itu.

Pada kenyataan media, beliau yang bimbang kedaulatan Sarawak terancam jika MKN disalah guna, kesal kerana Shahidan memberi alasan anggota MKN dilantik berdasarkan kemahiran dan bukannya perwakilan rakyat setempat.

“Ia penghinaan terhadap kemampuan rakyat Sarawak dan Sabah kerana menganggap mereka tidak mahir atau tidak sesuai untuk diterima dalam MKN,” katanya yang turut mengecam perbuatan 25 Ahli Parlimen Sarawak BN yang menyokong usul RUU itu.

“Ahli Parlimen BN Sarawak seolah-olah langsung tidak kisah atau ambil serius mengenai RUU itu. Mereka tidak berasa perlu untuk sekurang-kurangnya ada wakil dalam hal melibatkan kuasa Persekutuan,” katanya.

Apatah lagi, kata Kok Ping, kandungan RUU itu tidak menjelaskan setepatnya mengenai kawasan keselamatan sekaligus memudahkan penyalahgunaan kuasa apabila RUU itu benar-benar dilaksanakan

Tiada ulasan: