Khamis, 24 Disember 2015

Mahkamah sita barangan rumah bekas pemimpin Umno

MALAYSIAKINI


 


Mahkamah Tinggi Ipoh hari ini menyita barangan rumah milik bekas pemimpin Umno Datuk Hamidah Osman, selepas beliau gagal membayar ganti rugi kepada Ahli Parlimen Shah Alam, Khalid Samad yang memenangi kes saman fitnah terhadapnya.

Hamidah baru-baru ini telah dipecat dari Umno berhubung kritikannya terhadap Presiden Umno Datuk Seri Najib Razak.

Menurut portal The Star, pegawai mahkamah menyita barangan di rumahnya di Kampung Tersusun, Jalan Gopeng, Batu Gajah pagi ini.

Bekas ADUN Sungai Rapat itu pada April lalu diperintahkan membayar Khalid RM200,000 sebagai ganti rugi berhubung penerbitan artikel yang bertajuk "Umat Islam Perlu Bersatu" di dalam blognya pada Januari 2010.

Dalam artikel tersebut, Hamidah didakwa memuatkan gambar 'superimposed' Khalid berpakaian ala seorang paderi.

Pernyataan tuntutan Khalid, yang difail pada 23 Disember 2011, mendakwa gambar itu menunjukkan beliau seolah-olah seperti seorang paderi Kristian dan seorang yang murtad.

Hamidah menafikan beliau menuduh ahli parlimen AMANAH itu sebagai murtad mahupun mengedit imej berkenaan.


Tiada ulasan: