JOHOR BAHARU,  Jalan dan lebuh raya yang berhubung dengan Kompleks Kastam, Imegresen dan Kuarantin (CIQ) Bangunan Sultan Abdul Samad dilaporkan mengalami kesesakan teruk sejak beberapa hari ini.

Keadaan ini diburukkan lagi dengan kehadiran lori dan kenderaan berat di laluan masuk ke Singapura yang sudah berbaris panjang dari pagi hingga ke lewat petang.

Kesesakan tersebut telah memberi kesan kepada kenderaan yang berulang alik melalui Lebuhraya Penyuraian Timur (EDL) yang menghubungkan bahagian selatan Johor ke Kompleks CIQ, melalui perjalanan dari Johor Baharu ke Singapura.

Situasi ini difahamkan berlaku ekoran pemeriksaan ketat di bahagian keselamatan melibatkan kedua-dua negara, Malaysia dan Singapura.

Pusat Pemeriksaan dan Imegresen (ICA) Singapura dikatakan sudah beberapa hari menjalankan pemeriksaan menyeluruh ke atas kemasukan kenderaan dari Malaysia.

Pemeriksaan kenderaan khususnya melibatkan kenderaan berat telah dijalankan sebelum dan selepas pondok kawalan pasport.

Situasi tersebut telah mengakibatkan kesesakan teruk daripada Singapura ke Johor Baharu.

Pengawai Perhubungan Awam Lebuhraya EDL, Sabqi Ismail ketika dihubungi berkata bahawa kesesakan tersebut berlaku ekoran peningkatan bilangan lalu lintas.

“Sejak beberapa hari lepas, Lebuhraya EDL telah menyaksikan aliran masuk lalu lintas yang banyak dan ini telah menyebabkan kesulitan kepada pengguna jalan raya,” katanya ketika dihubungi The Rakyat Post.

Sebagai langkah penyelesaian sementara apabila terdapat kesesakan teruk, Ahmad Sabqi berkata bahawa pihak berkuasa EDL akan menutup persimpangan tertentu untuk memudahkan aliran lalu lintas di sepanjang EDL dan Pandan Interchange.

Ahmad Sabqi berkata, pihak pengurusan EDL akan memantau keadaan trafik pada hujung minggu akan datang kerana menjangkakan aliran trafik yang tinggi disebabkan cuti sekolah dan keadaan semasa.

“Kami harap pengguna jalan raya juga boleh membantu kami dan menggunakan jalan alternatif dalam bandar bagi mengelakkan terperangkap dalam kesesakan.”

Sementara itu, salah seorang pengguna jalan raya yang berulang alik di laluan berkenaan, Mohamad Kamil Mohd Suhaimi, 28, berkata bahawa kesesakan itu teruk.

“Bukan sahaja kereta dan lori yang terperangkap, tetapi penunggang motorsikal dan pejalan kaki juga terjejas,” katanya ketika ditemui selepas kembali ke Johor Baharu selepas bertugas di Singapura
Mohamad Kamil berkata, situasi ini menyebabkan ramai rakyat Malaysia yang bekerja di Singapura lewat ke tempat kerja.

Dia mengharapkan keadaan trafik boleh diperbaiki, terutama di pusat pemeriksaan di Singapura.

Pengguna jalan raya di bandar raya Johor Baharu dinasihatkan untuk memantau laman Twitter EDL @EDLConnects untuk kemas kini trafik setiap hari.