Selasa, 29 Disember 2015

Kurangkan dulu kos 'sara hidup' kerajaan, kata Pas

Sara hidup


SHAH ALAM - Menyambut baik penubuhan jawatankuasa khas bagi membincangkan tentang isu kos sara hidup, Pas bagaimanapun berkata, kerajaan terlebih dahulu perlu mempraktikkan perkara sama dalam pentadbiran mereka.

Timbalan Presiden Pas, Datuk Tuan Ibrahim Tuan Man berkata, antara langkah awal yang boleh dilaksanakan ialah dengan mengecilkan saiz Kabinet yang disifatkannya tidak padan dengan jumlah rakyat di negara ini.

"Mungkin sudah sampai masanya juga kerajaan menyemak kembali projek yang perlu ditangguhkan contohnya seperti pembelian pesawat, Program Latihan Khidmat Negara (PLKN).

[ARTIKEL BERKAITAN: Tubuh jawatankuasa bincang kos sara hidup]

"Sementara itu, kenaikan elaun menteri dan ahli parlimen tidak sesuai buat waktu ini dan saya sarankan agar ia ditangguhkan, di samping kurangkan lawatan rasmi ke luar negara... jadi saya fikir jawatankuasa untuk menyemak kos sara hidup itu satu aspek positif tapi daripada  kerajaan pun kena ada satu kajian semula," katanya kepada Sinar Online, hari ini.

Tuan Ibrahim berkata demikian mengulas kenyataan Timbalan Perdana Menteri, Datuk Seri Dr Ahmad Zahid Hamidi yang akan menubuhkan sebuah jawatankuasa peringkat tertinggi bagi membincangkan pandangan badan bukan kerajaan (NGO) tentang isu kos sara hidup.

Menurut Ahmad Zahid, beliau sendiri akan mempengerusikan jawatankuasa itu yang turut dianggotai enam menteri dan ketua setiausaha kementerian berkenaan.

Beliau berkata, menteri terlibat ialah Menteri Perdagangan Dalam Negeri, Koperasi dan Kepenggunaan, Datuk Seri Hamzah Zainuddin; Menteri Perdagangan Antarabangsa dan Industri, Datuk Seri Mustapa Mohamed; Menteri Kewangan Kedua, Datuk Seri Ahmad Husni Hanadzlah; Menteri di Jabatan Perdana Menteri, Datuk Seri Abdul Wahid Omar; Menteri Pendidikan Tinggi, Datuk Seri Idris Jusoh dan Menteri Pendidikan, Datuk Seri Mahdzir Khalid.

"Menerusi jawatankuasa ini, saya akan menjemput pengerusi NGO untuk menemui Perdana Menteri, Datuk Seri Najib Tun Razak untuk menyatakan sendiri luahan dan pandangan berhubung isu kos sara hidup," beliau dipetik sebagai berkata pada majlis penutupan Deklarasi Prioriti 2016 - Ekonomi Keutamaan Kita, di ibu negara, semalam.

Menurut Ahmad Zahid lagi, jawatankuasa itu dijadual bermesyuarat pada awal Januari depan bagi membincangkan cadangan yang dikemukakan oleh 50 NGO.


Tiada ulasan: