Ahad, 27 Disember 2015

“Kami silap kerana terlalu bersangka baik”

 
Pemuda Amanah Perak tampil menjawab tuduhan menipu apabila mewar-warkan penyertaan seorang ahli Pas ke dalam parti itu


Nasharuddin-Mat-Isa_amanah_600


PETALING JAYA: Pemuda Parti Amanah Negara (Amanah) Perak tampil membuat penjelasan berhubung tuduhan parti itu menipu apabila memuatnaik gambar-gambar seorang ahli Pas telah menyertai parti itu.

Pengarah Komunikasi Pemuda Amanah Perak, Mohd Rashidi Nasharuddin menjelaskan, pihaknya dilempar dengan tuduhan tidak wajar apabila penafian pemuda bernama Zack itu menyertai Amanah menjadi viral di media sosial,

“Kami mengharap fitnah ini dapat dihentikan kerana ia tidak membawa apa-apa manfaat kepada ummah secara keseluruhan. Kami mendoakan kebaikan baik untuk saudara Zack, Ustaz Idris Ahmad yang menjadikan posting Zack ini viral dan juga kepada parti Amanah yang kami cintai,” tulisnya di Facebook.

Menceritakan kejadian itu, Mohd Rashidi menjelaskan, Zack atau Mohd Zakaria datang ke Pejabat Amanah kawasan Bukit Gantang dan pihaknya ‘bermanis mulut’ menawarkannya menyertai Amanah.

“Dia bersetuju untuk menyerahkan borang keahlian yang masih belum diisi kepada ADUN Changkat Jering, Dato’ Seri Ir Mohammad Nizar Jamaluddin sebagai gimik penyertaannya

“Tidak lama kemudian, kami menerima satu “screenshort” tentang penafian dia menyertai Amanah. Dalam posting itu, dia menyangkal dengan nama Allah bahawa dia menyertai Amanah. Dia mengatakan ia hanyalah borang kosong.

“Kami tidak menafikan bahawa memang benar borang di dalam gambar itu masih kosong kerana ia hanyalah gimik penyerahan semata-mata kerana kami dengan penuh sangka baik percaya soal pengisian maklumat borang akan diselesaikan selepas selesai program.

“Dengan penuh berlapang dada, kami sangat menghormati jika dia ingin ‘u-turn’ kembali kepada Pas kerana menganggapnya perbuatan itu salah atau terburu-buru namun tindakan dia menafikan hingga pihak kami dituduh menipu, ia adalah satu tindakan yang tidak wajar,” jelas Mohd Rashidi.

Katanya, pihaknya silap kerana terlalu bersangka baik kepada pemuda itu dan kini mereka dianggap penipu dan menyebar perkara palsu.

Tiada ulasan: