Selasa, 29 Disember 2015

Ibrahim Ali terus sinis pada kerjasama Umno-PAS

MALAYSIAKINI


 


Presiden kumpulan pendesak Melayu PERKASA Datuk Ibrahim Ali terus menunjukkan sikap sinisnya terhadap spekulasi kerjasama Umno-PAS.

Beliau berkata 'kerjasama' kedua-dua parti Melayu terbesar itu telah berlaku di Kelantan ketika berdepan masalah banjir.

Bagaimanapun, bekas anggota parlimen Pasir Mas itu menggambarkan kerjasama itu tidak begitu memberangsangkan, khususnya dalam memberi faedah kepada rakyat.

“Cuma yang saya tahu, kerjasama Umno dan PAS di Kelantan ini, akhir sekali kes banjir baru-baru ini, Umno telah bekerjasama dengan PAS untuk mengatasi masalah orang hilang rumah.

“Jadi rumah itu tak buat. Bila tanya orang Umno dia suruh tanya orang PAS, kita dah bekerjasama kata dia. Tanya orang PAS mereka suruh tanya orang Umno. Akhirnya rumah tak buat langsung.

“Itu kerjasama sekarang ini,” kata Ibrahim atau yang mesra dengan panggilan Tok Him.




Ibrahim dalam mesyuarat agung PERKASA di Kuala Lumpur pada 20 Disember lalu menjangkakan kerjasama politik Umno-PAS sukar menjadi kenyataan.

Beliau membangkitkan isu perbezaan ideologi dengan Umno sebagai parti nasionalis dan PAS pula yang beraliran Islam.

Beliau bagaimanapun berharap kerjasama itu dapat berlaku di luar isu politik.

Ku Li: Mungkin masalah bagi Sabah, S'wak

Sementara itu, anggota Parlimen Gua Musang, Tengku Razaleigh Hamzah pula berkata berpendapat idea itu muncul susulan masalah dihadapi parti masing-masing.

“Barangkali Umno membawa cadangan ini kerana kemungkinan Umno tidak akan dapat sokongan daripada bukan Melayu dalam PRU (pilihan umum) akan datang dan (ia langkah) strategik baginya untuk berkawan dan bekerjasama dengan PAS.

“Dan PAS barangkali juga nak sokongan Umno bukan sahaja kerana dia sudah tidak lagi dianggap sebagai rakan dalam perjuangan Pakatan Rakyat dahulu, tetapi ia sekarang ini terpencil sebagai sebuah parti lama yang hanya mempunyai pengikut-pengikut dalam kawasan tradisi,” katanya.

Bercakap dalam sidang media dalam acara PERKASA di Kuala Lumpur, hari ini, Razaleigh (gambar) juga berkata perjuangan PAS juga memerlukan sokongan kerajaan Umno untuk menjalankan hudud.

Razaleigh bagaimanapun membangkitkan masalah lain yang mungkin dihadapi Umno jika meneruskan usaha itu.

“Ia (Umno) juga kena beri perhatian dengan rakyat Sabah dan Sarawak, yang memikirkan mungkin kerjasama dengan PAS tidak boleh membela kepentingan mereka di Sabah dan Sarawak,” katanya.


Tiada ulasan: