Rabu, 9 Disember 2015

Hentikan kenaikan harga, ujar Pemuda Umno kepada kerajaan

Oleh Wan Anis Ilyani Wan Mohammad Azhar

 
Post Pic

 
 
KUALA LUMPUR: Pemuda Umno hari ini mendesak kerajaan supaya serta merta memastikan tidak ada kenaikan kos sara hidup kerana ia semakin menghimpit rakyat, khususnya belia. 
 
“Pemuda ingin memberitahu kepimpinan parti dan kerajaan - Cukuplah! Hentikan semua kenaikan ini. Jangan ada kenaikan lagi," kata Ketua Pemuda Khairy Jamaluddin Abu Bakar.  
 
Beliau menegaskan rakyat semakin tertekan dengan kenaikan harga barangan dan perkhidmatan seperti pengangkutan awam dan "kita tidak boleh diam membisu sahaja".
 
Khairy berkata pendirian Pemuda Umno itu bukan pendekatan populis tetapi dibuat atas keperluan membela rakyat khususnya generasi belia. 
 
"Jangan kata Pemuda populis. Kalau populis, kita akan suruh hapuskan GST dan batalkan semua kenaikan ini. Namun Pemuda bertanggungjawab." katanya sambil menerima sorakan perwakilan sayap itu di Pusat Dagangan Dunia Putra (PWTC) pagi tadi.
 
Khairy berkata demikian ketika mesrasmikan mesyuarat agong  Pemuda Umno 2015 di Pusat Dagangan Dunia Putra (PWTC) di sini hari ini. 
 
Sebagai menteri kabinet juga, ujar Khairy, beliau sentiasa bersuara menyatakan pandangannya apabila kerajaan mahu menambahkan beban kepada rakyat.
 
Beliau sedar kesukaran yang terpaksa ditanggung rakyat rentetan tindakan kerajaan menaikkan kadar tol, tambang pengangkutan awam, pengurangan subsidi bahan api dan pelaksanaan Cukai Barangan dan Perkhidmatan (GST).
 
Sehubungan itu, Khairy mencadangkan agar kerajaan memperkenalkan beberapa kemudahan diskaun kepada pengguna pengangkutan awam.
 
"Selama ini bila tol naik, kita minta anak muda guna pengangkutan awam. Tapi sekarang, lepas kita naikkan harga tol, tambang komuter, tambang ERL, segala-gala tambang pun naik juga. Apa lagi pilihan yang ada pada rakyat, nak suruh mereka jalan kaki? 
 
"Di banyak negara lain, golongan belia diberikan diskaun yang sama seperti warga emas untuk pelbagai kemudahan awam.  Kalau nak bantu orang muda, inilah masanya.  Saya tengok kesan kenaikan tambang Komuter contohnya, begitu membebankan.  
 
"Buatlah diskaun untuk belia bagi pengangkutan awam. Jangan harga dinaikkan semata-mata, tanpa langsung memikirkan langkah-langkah yang boleh meringankan beban tambahan ini," ujarnya lagi.
 
 

Tiada ulasan: