Ahad, 27 Disember 2015

Harga goreng pisang, tom yam, sate dijangka naik lagi 2016






Pelaksanaan cukai barangan dan perkhidmatan (GST) sejak April tahun ini mencengkam pengguna yang terpaksa membayar harga lebih tinggi untuk barangan serta perkhidmatan dan harga makanan dijangka semakin meningkat tahun depan. – Gambar fail The Malaysian Insider, 27 Disember, 2015.Pelaksanaan cukai barangan dan perkhidmatan (GST) sejak April tahun ini mencengkam pengguna yang terpaksa membayar harga lebih tinggi untuk barangan serta perkhidmatan dan harga makanan dijangka semakin meningkat tahun depan. – Gambar fail The Malaysian Insider.  
 
 
 
 
 
 
 
 
 
 
 
 
 
 
 
 
 
 
 
 
 
 
Pelaksanaan cukai barangan dan perkhidmatan (GST) sejak April tahun ini mencengkam pengguna yang terpaksa membayar harga lebih tinggi untuk barangan serta perkhidmatan.

Pertengahan Oktober lalu pula, kadar tol di lebuh raya konsesi di kawasan Lembah Klang naik di antara 10 sen sehingga RM6.

Peniaga kecil yang turut terkena tempias kesan rantaian kenaikan itu berusaha keras mengekang kenaikan tersebut agar ia tidak dipindahkan kepada pengguna secara mendadak.

Nik Azura Abu Bakar, 49, yang menjual pisang goreng dan keropok lekor di Taman Bukit Angkasa Pantai Dalam pasrah dengan siri kenaikan harga barangan sebelum ini. "Sekarang kami jual pisang goreng 3 ketul dengan harga RM1 berbanding dulu 4 ketul untuk RM1.

"Mereka (pelanggan) faham kenaikan harga barang ini tetapi kamilah yang terpaksa bersusah-payah pusing duit," katanya.

Pada masa sama, beliau mengekalkan harga jualan keropok lekor iaitu 5 potong pada harga RM1 walaupun pembekal makanan itu sudah menaikkan harga.

Namun, menjelang tahun depan beliau mengambil keputusan untuk tidak lagi menjual cendol yang turut dijual bersama keropok dan pisang goreng.

Peniaga Nik Azura Abu Bakar yang menjual pisang goreng dan keropok lekor di Taman Bukit Angkasa Pantai Dalam terkena tempias kesan rantaian kenaikan harga berusaha mengekang kenaikan agar tidak dipindahkan kepada pengguna secara mendadak. – Gambar The Malaysian Insider, 27 Disember, 2015.Peniaga Nik Azura Abu Bakar yang menjual pisang goreng dan keropok lekor di Taman Bukit Angkasa Pantai Dalam terkena tempias kesan rantaian kenaikan harga berusaha mengekang kenaikan agar tidak dipindahkan kepada pengguna secara mendadak. – Gambar The Malaysian Insider. 
 
 
 
 
 
 
 
 
 
 
 
 
 
 
 
 
 
 
 
 
  "Pembekal naikkan juga daripada RM1 sebatang (keropok lekor) kepada RM1.10 untuk kami, tapi kami kekalkan lagi harganya.

"Cumanya, selepas ini, kami hentikan jualan cendol, (sekarang dijual) yang besar RM2.50 (secawan) dan yang kecil RM1.50," katanya yang mengusahakan perniagaan itu bersama suaminya serta 3 anak perempuannya.

Beliau juga merasakan dirinya bernasib baik kerana boleh membeli minyak masak dari Kedai Rakyat 1Malaysia yang kebetulan terletak berhampiran lori tempat beliau berniaga.

"Kita sebagai peniaga terpaksa teruskan juga untuk menyara hidup. Kita pergi belilah di Kedai Rakyat 1Malaysia dekat depan. Perniagaan mesti diteruskan," katanya.

Sentimen sama turut disuarakan peniaga Mohd Farize Jaafar, 58, yang menjual sate.

Farize tidak menolak kemungkinan harga secucuk sate yang baru dinaikkan kepada 80 sen daripada 70 sen selepas Hari Raya Aidilfitri beberapa bulan lalu, terpaksa dinaikkan lagi jika harga barang mentah melambung menjelang 2016.

"Kita tengok hargalah, kalau dia (barang) naik tinggi kita terpaksa naikkanlah.  Kalau kita mampu macam sekarang, kita kekalkan.

"Sekarang tak banyak sangat untung, dulu boleh tahanlah," kata Farize yang pada asalnya berniaga sate sejak 2008 tetapi kini bekerja mengusahakan perniagaan sate adiknya sejak 2011.

Penjual sate, Mohd Farize Jaafar berkata tidak mustahil harga makanan yang dijualnya meningkat lagi tahun depan kerana peningkatan kos bahan mentah. – Gambar The Malaysian Insider, 27 Disember, 2015.Penjual sate, Mohd Farize Jaafar berkata tidak mustahil harga makanan yang dijualnya meningkat lagi tahun depan kerana peningkatan kos bahan mentah. – Gambar The Malaysian Insider.
 
 
 
 
 
 
 
 
 
 
 
 
 
 
 
 
 
 
 
 
 
 
 
 
 
 
 
 
 
 
 
 
 
 
 
 
 
 
 
 
 
 
  
 
 
  "Daging lembu dulu sekilogram RM15.50 tetapi sekarang sekitar RM22 atau RM23 sekilogram.

"Kacang tanah dulu seguni (dengan berat sekitar 5 kilogram) dalam RM27 atau RM28 tetapi sekarang seguni RM32," katanya yang menjual sate di Bazaria Pantai, Pantai Dalam.

Beliau bagaimanapun berkata pelanggan yang sebahagiannya merupakan pelanggan tetap kebiasaannya akan dimaklumkan terlebih dulu akan sebarang kenaikan harga.

"Mana-mana yang biasa beli dengan kita, kita akan maklumkan dulu. Ada sesetengahnya pula akan tanya dulu berapa harga secucuk sebelum membeli," katanya yang memperoleh barang mentah di sebuah pasar raya besar di Jalan Kuchai Lama.

Seorang peniaga kedai tom yam di Brickfields yang hanya mahu dikenali sebagai Boy pula merungut tentang kenaikan harga barangan mentah seperti ayam, beras, daging, telur serta rempah-ratus di kedainya.
"Sekarang ini, kalau RM500 sehari untuk beli barang mentah belum tentu lagi cukup.

"Kita pula serba salah hendak naikkan harga barang sebab kebanyakannya pelanggan tetap," katanya yang mendapatkan bekalan barang mentahnya di Pasar Borong Selayang.

Seorang pekerja kedai makan 24 jam di Jalan Pantai Murni, Kerinchi, Maimunah Ali, 30, mempunyai pendapat berbeza tentang kenaikan harga barang mentah yang berlaku dan dijangka berterusan pada tahun depan.

Beliau yang menguruskan kedai tersebut bagi pihak majikannya yang menetap di Melaka berkata, kedai tersebut amat jarang menaikkan harga makanannya.

"Kita di sini biasa-biasa saja. Untung sikit-sikit tak mengapa, janji kita masih berniaga," katanya.

Katanya, majikannya juga tidak kisah dengan perkara tersebut selagi kedai itu masih mencatatkan keuntungan.

"Janji dia sudah untung pun sudah mencukupi," katanya.


Tiada ulasan: