Isnin, 21 Disember 2015

Gangguan aerotrain KLIA, penumpang terkandas

Koh Jun Lin






Perkhidmatan aerotrain di Lapangan Terbang Antarabangsa Kuala Lumpur (KLIA) menghadapi 'masalah teknikal' hari ini menyebabkan penumpangnya terkandas semasa untuk transit di antara dua terminal lapangan terbang itu.

Aerotrain adalah perkhidmatan rel yang menghubungkan terminal utama KLIA ke terminal satelit dan lazimnya adalah laluan untuk penumpang di antara kedua-duanya.

Menurut seorang penumpang Said Rizal, 37 yang tiba dari Dubai pada jam 1.45 petang tadi dan sampai di stesen itu kira-kira 30 minit kemudian, gangguan itu menyebabkan kesesakan di sekitar stesen.

"Saya baru sahaja tiba dan ramai yang terkandas ketika cuba ke terminal utama.

"Tiada siapa yang tahu apa yang berlaku dan tidak ada sebarang kemas kini daripada kakitangan Malaysian Airport Berhad (MAHB). Tiada pengumuman, apa-apa. Semua orang hanya dibiarkan begitu sahaja," katanya kepada Malaysiakini.

Beliau berkata bukan sahaja maklumat tidak disalurkan, malah tiada pengangkutan alternatif yang datang. Ini menyebabkan kawasan sekitar stesen di terminal satelit itu dilanda huru-hara.


Ini berlaku sehingga satu kereta api mula beroperasi pada pukul 3 petang dan berlepas tidak lama kemudian.

Dengan nada kecewa, katanya, MAHB sepatutnya menyediakan penumpang dengan maklumat kemas kini dan pengangkutan alternatif ataupun mengarahkan pesawat terus ke terminal utama dan bukannya terminal satelit.

Sebahagaian besar penerbangan dalam negeri adalah menerusi terminal utama manakala terminal satelit pula mengendalikan penerbangan antarabangsa.

Sementara itu di laman Facebook MAHB, syarikat itu berkata perkhidmatan bas telah diatur untuk membawa penumpang di sekitar lapangan terbang.

"Kami memohon maaf atas sebarang kesulitan yang timbul. Kami sedang berusaha ke arah memulihkan perkhidmatan aerotrain ini," katanya.

Sementara itu, Bernama melaporkan perkhidmatan aerotren di Lapangan Terbang Antarabangsa Kuala Lumpur (KLIA) terhenti selama kira-kira sejam hari ini berikutan masalah teknikal.

Masalah itu bagaimanapun diatasi menjelang kira-kira 3 petang, kata jurucakap Malaysia Airports Holdings Bhd.

Beliau berkata perkhidmatan bas digunakan untuk membawa penumpang semasa perkhidmatan terhenti.
"Pasukan kami telah bekerja keras untuk memulihkan perkhidmatan aerotren," katanya.


Tiada ulasan: