Sabtu, 12 Disember 2015

Dihalau kerana laporan penyata kewangan Umno

MALAYSIAKINI


 


Wartawan Malaysiakini telah diusir dari Pusat Dagangan Dunia Putra (PWTC) hari ini berikutan laporan mengenai penyata kewangan Umno.

Setiausaha Agung Umno Datuk Seri Tengku Adnan Tengku Mansor bagaimanapun berkata, kakitangan media portal itu pada mulanya telah diberi kebenaran untuk membuat liputan perhimpunan agung.

Bagaimanapun, beliau berkata Malaysiakini telah melaporkan kenyataan kewangan parti.

"Mereka mencuri dokumen itu, mereka sepatutnya memeriksa dengan kami terlebih dahulu.

"Mereka (wartawan) boleh datang ( PAU) tapi dengan penuh etikalah.

“Kenapa mereka putar belit perkara yang tidak benar dan laporkan separuh benar? Kami tahu apa yang kami buat itu OK," katanya kepada pemberita di PWTC hari ini.

Wartawan Malaysiakini dihalau dari Pusat Dagangan Dunia Putra (PWTC) di Kuala Lumpur hari ini, didakwa atas arahan sekretariat Umno.

Turut diusir adalah petugas portal The Malaysian Insider.

Tengku Adnan mendakwa bahawa Malaysiakini dihalau daripada bangunan PWTC kerana melaporkan mengenai penyata kewangan Umno.

Malaysiakini bagaimanapun hanya memetik laporan The Malaysian Insider yang menulis mengenai penyata kewangan itu dan menyatakan dengan jelas sumber laporan itu.

The Malaysian Insider melaporkan Umno menerima sumbangan RM82 juta tahun lepas, seperti dinyatakan dalam laporan kewangannya di perhimpunan agung Umno.

Ia tidak sama dengan sumbangan RM2.6 bilion yang diterima Presiden Umno Datuk Seri Najib Razak daripada penderma di Timur Tengah.

Kritikan kumpulan wartawan 

Sementara itu, sebuah kumpulan wartawan dan aktivis media bebas mengkritik cubaan Umno menghalau petugas media daripada membuat liputan dalam perhimpunan agung parti itu.

Gerakan Media Marah (GERAMM) berkata tindakan itu bertentangan dengan janji Presiden Umno Datuk Seri Najib Raazk sendiri yang pernah menjamin kebebasan media, seiring ikrar pemansuhan akta kontroversi lain.

GERAMM berkata, tindakan itu, ketika beberapa media dinafikan pas liputan dan kemudahan untuk membuat liputan, dengan sendirinya menunjukkan tahap ketelusan dalam parti itu sendiri.

Kumpulan itu berhujah, jika terdapat kecurian maklumat seperti didakwa oleh Umno, parti itu sepatutnya membuat laporan polis atau mengambil tindakan undang-undang.


Tiada ulasan: