Jumaat, 11 Disember 2015

DALAM MEMBELIT DAN BERBELIT-BELIT, JANGAN SAMPAI TERBELIT DIRI SENDIRI...

shahbudindotcom






Sejak kecil kita selalu diingatkan agar sentiasa bercakap benar dan jangan sesekali cuba berbohong kerana kebenaran, walau bagaimana sekali pun cuba diselindung atau dibelitkan, tetap akan muncul akhirnya.

Dalam masa yang sama, kita juga selalu diingatkan bahawa orang yang berbohong mudah dikenali kerana jawapannya akan kelihatan berbeza-beza meskipun soalan yang ditanya adalah sama.

Orang yang banyak pengalaman berbohong atau kena bohong pula sering mengingatkan, apabila kita mula berbohong buat kali pertama, kita akan berbohong lagi buat kali kedua apabila pembohongan pertama tadi mula disedari kebenarannya atau tidak lagi menimbulkan kepercayaan.

Akibatnya, bohong kedua cuba ditutup dengan bohong ketiga dan seterusnya demi seterusnya sehingga akhirnya hidup dalam pembohongan sepanjang masa.

Para peguam pula selalu mengingatkan orang yang diwakilinya agar jangan sesekali cuba berbohong dalam memberi keterangan kerana ia akan membinasa diri serta lebih mungkin menghumban ke penjara kesudahannya.

Hakikatnya, dalam bentuk dan cara bagaimana sekali pun, pembohongan tidak akan kekal lama. Ia sama ada akan terbongkar atau disedari ramai akhirnya.

Dalam isu derma RM2,600 juta yang diterima Najib, dengan mengenepikan semua perkara lain seperti siapa nama penderma, apa kegunaannya atau di mana bakinya, sebaliknya untuk mengesahkan jumlah pendermanya sama seorang atau lebih pun nampaknya seolah-olah begitu ketara adanya ciri-ciri tidak bercakap benar itu.

Itu belum dikira lagi jawapan awal Najib yang mengatakannya sebagai fitnah, konspirasi, mahu mengambil tindakan undang-undang, malah memberi logik "kalau saya nak menyamun, takkan saya masukkan dalam akaun peribadi".

Dengan beberapa jawapan yang berbeza-beza, ramai yang mula teringat kepada pesan orang tua-tua mengenai perbuatan berbohong itu. Kalau seorang yang menderma, sepatutnya dari awal hingga akhir itulah jawapannya. Begitu juga kalau lebih daripada seorang, daripada awal lagi diberitahu sebegitu.

Kenapa susah sangat membezakan antara angka 1 dengan 2,3,4 dan sebagainya?

Pada peringkat awal, baik Najib Razak, Zahid Hamidi mahu pun lain-lain pemimpin UMNO yang mahu mempertahankan penerimaan wang itu, mereka seringkali membayangkan pendermanya hanya melibatkan seorang individu daripada Timur Tengah saja.

Malah Zahid Hamidi, tidak lama selepas dilantik sebagai Timbalan Perdana Menteri iaitu ketika merasmikan Mesyuarat Perwakilan UMNO Seri Gading pada 22 Ogos lalu turut mengesahkan telah menemui wakil keluarga penderma terbabit yang merupakan ketua pegawai pelaburan dan pemegang amanahnya.

Tetapi dua hari lalu Zahid mengatakan pula, penderma itu  bukan merupakan individu, sebaliknya mengatakan ia merujuk kepada pimpinan sebuah kerajaan.

Mula-mula didakwa individu, tetapi oleh kerana barangkali menyedari tidak mungkin ada Pak Arab kaya yang sanggup menderma sebanyak itu, maka ia kemudian dialih pula mewakili sebuah kerajaan.

Apabila Tun Mahathir berulangkali menyatakan kebanyakan negara Arab adalah kedekut berdasarkan pengalamanya meminta derma, termasuk untuk membina UIA, malah ada yang membalasnya dengan memberi kitab sahaja, jawapan seterusnya bahawa penderma dikatakan lebih daripada seorang pula.

Zahid dengan selamba mengatakan pendermanya adalah lebih daripada seorang.

Begitu juga dengan Najib, dengan mula-mula mengatakan penderma adalah seorang yang murah hati mahu melihat UMNO terus menang pilihanraya, namun dalam majlis taklimat presiden  baru-baru ini beliau ada menyebut derma itu diterima daripada kabilah-kabilah di Timur Tengah.

Dalam interbiu dengan beberapa media sejak dua tiga hari lalu sempena Perhimpunan Agung UMNO, Najib juga lebih kerap menyebut penderma-penderma dan bukannya penderma lagi.

Maknanya, Najib dan Zahid sudah ke arah mahu meyakinkan bahawa penderma wang itu ialah lebih daripada seorang.

Bagaimanapun, SPRM yang telah pergi Timur Tengah untuk menyiasat dan mengambil keterangan mengenai wang itu mengesahkan hanya menemui penderma tunggal saja dan bukannya lebih daripada seorang saja.

Kata-kata siapa yang mahu kita terima pakai sebenarnya? Najib dan Zahid Hamidi sebagai orang politik atau SPRM yang bekerja berdasarkan fakta?

Jika Zahid Hamidi dan lain-lain pemimpin keliru mengenai jumlah penderma, ia mungkin boleh diterima, tetapi tentulah pelik bin ajaib apabila Najib yang menerima duit pun tidak dapat memberi jawapan yang konsisten mengenai jumlah orang yang memasukkan duit ke dalam akaunnya.

Dalam hal ini Bank Negara tentu dapat mengesahkan sama ada wang yang diterima Najib itu dimasukkan melalui satu pemindahan saja atau lebih daripada itu. Jika banyak pemindahan yang berlaku dan sumbernya berlainan, barangkali boleh diterima jika ia diberikan oleh lebih daripada seorang.

Tetapi, bagaimana jika hanya ada satu pemindahan saja yang berlaku? Atau kalau lebih daripada satu pemindahan wang yang berlaku, sumbernya pula tetap sama?

Adakah jawapan yang berbeza-beza ini menampakkan pembohongan mungkin sudah berlaku sejak awal lagi?

Cumanya, berdasarkan pesan orang tua-tua juga, berbohong sikit-sikit atau melakukannya sekali dua kadangkala memang menyeronokkan, tetapi pembohongan tidak pernah kekal lama, malah ramai yang terbelit di pertengahan jalan lagi. 

Ia ibarat bermain dengan tali - boleh membelit, berbelit-belit dan juga terbelit.

Tiada ulasan: