Selasa, 8 Disember 2015

CADANGAN NAJIB UNDUR SEMENTARA, TIDAK TERANGSANGKAH ZAHID MAHU MENYOKONGNYA?

shahbudindotcom

 
 
 
Antara perkara yang dibangkitkan oleh Muhyiddin Yassin dalam butiran amanatnya di Kelab Sultan Sulaiman semalam bagi menggantikan ucapan perasmian Perhimpunan Agung Wanita, Pemuda dan Puteri UMNO yang tidak dibenarkan ialah mencadangkan agar Perdana Menteri, Najib Razak bercuti rehat seketika sementara siasatan mengenainya berkaitan 1MDB dan derma RM2,600 juta diselesaikan.

"Saya ingin mencadangkan agar Perdana Menteri berehat seketika. Biarlah siasatan berjalan dengan bebas, telus dan adil serta jangan timbul persepsi beliau campurtangan dalam siasatan.

"Ambillah cuti sehingga kes selesai. Jika siasatan mendapati Perdana Menteri tidak bersalah, baliklah semula dan sambung tugas seperti biasa.

"Dengan itu, saya percaya nama Perdana Menteri dan imej UMNO dapat dibersihkan", tegas Timbalan Presiden UMNO itu sambil diiringi tepukan gemuruh orangramai.

Sebagaimana yang disebut juga oleh Muhyiddin bahawa cadangan itu bukan ada apa-apa niat tidak baik terhadap Najib, sesungguhnya sesiapa pun dapat merasakan ia memang suatu cadangan yang ikhlas demi kebaikan Perdana Menteri, UMNO dan juga negara.

Terlihat bahawa Muhyiddin melontarkan cadangan itu terbit daripada pancaran jiwanya yang mahukan kebaikan serta penyelesaian yang akhirnya dapat diterima baik oleh semua pihak.

Ini kerana, walau  bagaimana sekali pun cuba dinafi dan disanggah, hakikatnya selagi Najib masih duduk di kerusi Perdana Menterinya, keraguan serta kesangsian orangramai terhadap kebebasan, ketelusan, keadilan dan elemen campurtangan sukar sekali mahu diketepikan.

Dengan mencadangkan sedemikian, tiada apa-apa yang berubah kepada kedudukan Muhyiddin. Beliau tetap dengan situasinya yang ada sekarang - sekadar Timbalan Presiden UMNO dan bekas Timbalan Perdana Menteri.

Sebaliknya, yang mungkin meraih sedikit kenaikan dalam takuk kedudukan ialah Ahmad Zahid Hamidi yang meningkat daripada Timbalan Perdana Menteri kepada Pemangku Perdana Menteri.

Selama mana siasatan berjalan, selagi itulah beliau akan bergelar Pemangku Perdana Menteri. Jika siasatan sudah selesai dan Najib didapati tidak bersalah, beliau boleh kembali menjadi Perdana Menteri semula, tetapi sekurang-kurangnya Zahid merasa juga duduk sebagai Pemangku Perdana Menteri.

Kiranya Najib didapati bersalah pula, Zahid juga lebih berpeluang untuk terus menjadi Perdana Menteri kerana dengan kedudukannya sedia ada dalam kerajaan, beliau lebih mudah mendapat serta memutlakkan sokongan daripada Ahli-Ahli Parlimen BN memihak kepadanya.

Dalam keadaan yang sama, Muhyiddin barangkali hanya berpeluang menjadi Perdana Menteri berdasarkan konsep parti menguasai kerajaan dan kedudukannya sebagai pemimpin nombor dua, itu pun sekiranya UMNO dan barisan pemimpinnya yang ada sekarang sedia membuat keputusan yang memihak kepadanya.

Cuma soalnya, selepas agak lama berada di luar kerajaan, apakah UMNO sedia menilai semula Muhyiddin atau merasakan memilih serta menobatkan Zahid menjadi Perdana Menteri lebih wajar lagi?

Mengenali budaya dalam UMNO, ternampak bahawa kecenderungan untuk mereka memihak kepada Zahid nyata lebih tinggi berbanding memilih Muhyiddin.

Apa pun persoalan yang bakal berbangkit nanti, yang jelasnya ketika Muhyiddin melontarkan cadangan agar Najib bercuti sementara itu, beliau sebenarnya tidak memikirkan keuntungan untuk dirinya.

Niatnya benar-benar untuk menyucikan nama Perdana Menteri serta demi kebaikan UMNO dan negara daripada kemelut 1MDB dan wang derma yang masih menjadi pertikaian rakyat itu.

Jika ada yang mendapat untung melalui perlaksanaan cadangan itu tidak lain ialah Zahid Hamid - daripada pemimpin Perak pertama menjadi Timbalan Perdana Menteri, martabatnya naik lagi dengan orang Perak pertama juga bergelar Pemangku Perdana Menteri.

Andai ditakdirkan Najib bersalah, peluang Zahid menjadi Perdana Menteri juga lebih terang cahaya di hujung terowongnya berbanding Muhyiddin.

Oleh itu, tidak terangsangkah Zahid mahu menyokong cadangan Muhyiddin itu? 


Tiada ulasan: