Sabtu, 19 Disember 2015

Banjir: Harga naik dua kali ganda?


pasar ikan
Harga tinggi dikenakan pemborong memberi kesan kepada peniaga dan pembeli di Pasar Besar Melaka Sentral, semalam.
 


BANDARAYA MELAKA - Kekurangan bekalan bahan mentah dipercayai akibat musim tengkujuh dan banjir menyebabkan harga pasaran sayur dan ikan di Melaka, naik sehingga dua kali ganda.

Meskipun bekalan masih mudah didapati, namun kenaikan harga bahan mentah yang tinggi mendatangkan keresahan kepada peniaga dan pengguna.

Tinjauan di Pasar Besar Melaka Sentral di sini  mendapati, sayur-sayuran seperti kangkung, bayam, sawi, kacang, bendi dan kubis mula naik harga hampir dua kali ganda berbanding biasa, yang didakwa berlaku sejak dua minggu lalu.

Peniaga sayur, A Rageswary, 42, berkata, harga tinggi yang diterima daripada pembekal menyebabkan dia semakin tertekan untuk menjual kerana terpaksa meletakkan harga tinggi kepada pembeli.

Menurutnya, sawi yang sebelum ini hanya RM3.50 sekilogram tetapi kini mencecah RM7 selain kacang buncis dan cili merah naik kepada RM9 daripada RM7.

“Peniaga memang tidak boleh berbuat apa-apa kerana dah harga datang macam ni jadi terpaksa jual tinggi.
“Seperti cili merah, harga datang dah RM9. Habis kita nak buang lagi yang rosak semua perlu kira, kacang buncis pun sama. Jadi untung kami tidak berapa sen,” katanya.

Nasib sama turut dialami peniaga ikan, Ismail Hassan, 54, yang memohon pihak bertanggungjawab supaya memantau dan mengambil tindakan kepada pembekal yang sengaja menaikkan harga kerana memberi kesan kepada peniaga.

“Kalau boleh pihak bertanggungjawab pantaulah tengok harga. Kalau musim tengkujuh ini, tak ada ikan.
“Pantau pembekal supaya harga itu dapat dikurangkan walaupun naik RM1 atau lebih tapi dah lama harga naik,” katanya.

Sementara itu, seorang pengguna, Kalsom Kasim, 55, berkata, kos sara hidup semakin meningkat dengan pendapatan sederhana sememangnya menyebabkan ramai terpaksa berjimat-cermat.

“Barang mahal, kos sara hidup naik tapi pendapatan kurang. Jika dulu datang pasar bawa RM100 sudah cukup tetapi sekarang tak cukup,” katanya.

Kamariah Abu Hassan, 67, pula berkata, dia juga tiada pilihan lain selain berjimat.

“Banyak barang naik harga, tiada yang turun dan memang ramai pengguna merungut,”

Tiada ulasan: