CAMERON HIGHLANDS,  Menteri Besar Pahang, Datuk Seri Adnan Yaakob mengeluh, beliau sentiasa  dipersalahkan terhadap semua bencana alam di Cameron Highlands.


“Saya rasa tidak ada keperluan untuk media menemubual saya apabila bencana berlaku kelak. 

“Tulis sahaja bencana itu berlaku kerana saya, banjir berlaku kerana saya (kencing) terlalu banyak,” katanya secara berseloroh kepada hadirin, ketika perasmian Program Publisiti dan Penyertaan Awam Draf Rancangan Tempatan Daerah Cameron Highlands 2030 (Penggantian) di Tanah Rata, hari ini.

Adnan berkata, alam sekitar boleh dimusnahkan akibat kerakusan manusia. 

Bagaimanapun, tegasnya, Kerajaan Negeri Pahang komited untuk melindungi Cameron Highlands dan mengembalikan zaman kegemilangannya sebagai destinasi pelancongan yang bersih.

Draf Rancangan Tempatan 2030 itu, katanya, bertujuan mengembalikan zaman kegemilangan Cameron Highlands.

Sehubungan itu, beliau menggesa orang ramai menggunakan sepenuhnya peluang itu untuk menyuarakan pandangan mereka demi masa depan Cameron Highlands, melalui Draf Rancangan Tempatan 2030 itu. 

Disediakan Jabatan Perancangan Bandar dan Desa, Draf Rancangan Tempatan 2030 sebagai strategi Pengurusan Khas akan menggantikan Rancangan Tempatan Cameron Highlands 2003-2015 . 

“Jika perlu, kita boleh mengubah Draf Rancangan Tempatan itu, tetapi jangan tunggu sehingga draf itu dimuktamadkan. 

“Orang ramai juga perlu mempunyai kesedaran dan etika, kerana sungai sentiasa dicemari sampah. Malah, anda boleh nampak mesin basuh dan perabot dalam sungai,” katanya sambil menambah, perancangan sedang dibuat untuk membersihkan sungai-sungai.

Orang ramai mempunyai masa sehingga awal bulan depan untuk memberi maklum balas mereka berhubung draf itu di majlis daerah.

Mereka boleh melihat rancangan itu dan memberi maklum balas menerusi borang yang disediakan. 

Selepas Rancangan Tempatan itu diwartakan, pembangunan perlu mengikur rancangan berkenaan atau mereka dianggap melanggar Akta Perancangan Bandar dan Desa.

Pada masa sama, Adnan berkata, kawasan berisiko yang terdedah kepada hakisan tanah dan banjir telah dikenal pasti dan akan diberikan perhatian.

Bagi penerokaan hutan secara haram, Majlis Keselamatan Negara (MKN) akan memantau dan menjalankan penguatkuasaan, khasnya terhadap petani besar.

Petani terbabit diklasifikasikan sebagai mereka yang mempunyai tanah melebihi lima ekar.

Adnan berkata, pertanian boleh menjadi perniagaan menguntungkan, kerana petani boleh menjadi jutawan dengan 10 ekar tanah di Cameron Highlands.

Beliau turut menggesa orang ramai membuat laporan kepada Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia, bukannya menyindir pihak berkuasa seperti MKN merasuah.

“Anda boleh buat laporan bila-bila masa, jangan tuding jari sewenang-wenangnya,” katanya.