KUALA LUMPUR,  Kerjasama politik antara Umno dan Pas dilihat sukar untuk direalisasikan dalam masa terdekat kerana kedua-dua parti berkenaan menghadapi kekangan di peringkat dalaman.

Penganalisis politik UUM, Dr Mohd Azizuddin Mohd Sani berkata Umno akan menghadapi tentangan daripada parti-parti komponen Barisan Nasional yang tidak bersetuju untuk menerima Pas ke dalam gabungan berkenaan.

Menurutnya, sekiranya Pas diterima masuk ke dalam BN mungkin parti tersebut akan diminta supaya menggugurkan perjuangan negara Islam dan juga pelaksanaan hukum Hudud di negara ini yang mana sudah pasti sukar untuk diterima oleh parti Islam berkenaan.

“Dalam Pas pula sudah pasti akan ada tentangan di peringkat akar umbi kerana masih ramai yang mengenang kepada pegangan Almarhum Datuk Nik Abduk Aziz Nik Mat yang menentang kerjasama dengan Umno sehingga ke akhir hayat beliau.

“Di samping itu akan timbul isu di Selangor sekiranya ada kerjasama dengan Umno yang mana apakah perlu dilakukan dengan kedudukan Pas dalam kerajaan negeri sedangkan telah ada hubungan dengan Umno.

“Oleh itu saya melihat buat masa sekarang Umno dan Pas masih belum boleh bergabung dalam satu komponen tetapi mungkin boleh katakan bergerak atas isu bersama seperti agenda Islam dan Melayu dan kekangan itu perlu diselesaikan dalam masa setahun dua ini sebelum menjelang pilihanraya akan datang samada untuk mengumumkan gabungan berkenaan atau bergerak secara berasingan untuk dapatkan persetujuan ahli dan parti komponen,” katanya ketika dihubungi The Rakyat Post di sini hari ini.

Mengulas lanjut, Azizuddin menjelaskan kerjasama politik berkenaan merupakan strategi politik kedua-dua parti tersebut dalam usaha mendapatkan sokongan rakyat terutamanya orang Melayu dan juga melaksanakan agenda yang sebelum ini sukar untuk dilaksanakan.

Tegasnya, Umno pada ketika ini cukup terdesak untuk mendapatkan sokongan orang Melayu dan apabila Pas bersetuju menjalin kerjasama sudah pastilah ia akan dapat menguatkan sokongan terutamanya di kawasan luar bandar yang mempunyai ‘hardcore supporter’ yang kekal menyokong parti walau apapun yang berlaku.

“Dengan mendapat sokongan dan undi orang Melayu yang agak besar dan mengekalkan sokongan di Sabah dan Sarawak maka peluang BN untuk kekal berkuasa agak cerah.

“Pas pula sudah pasti akan menggunakan kerjasama ini untuk membolehkan pelaksanaan undang-undang syariah atau Hudud terutamanya di Kelantan dapat dijalankan dan ia dikuatkan lagi dengan kenyataan Ketua Dewan Ulama Pas yang mengatakan sekirnya hudud tidak menjadi agenda maka hubungan dengan Umno akan terputus.

“Maka dengan ini sudah nampak bahawa Pas mahu memanfaatkan kerjasama berkenaan untuk membolehkan Hudud dijalankan dan ia merupakan agenda terbesar mereka bekerjasama dengan Umno,” ujarnya.