Selasa, 8 Disember 2015

Akar umbi Umno buat laporan RoS tentang derma RM2.6 bilion



Sekumpulan ahli akar umbi Umno membuat laporan kepada Pendaftar Pertubuhan mengenai dana RM2.6 bilion yang dimasukkan ke dalam akaun peribadi presiden parti, lapor Malaysiakini. – Gambar fail The Malaysian Insider, 8 Disember, 2015.  
Sekumpulan ahli akar umbi Umno membuat laporan kepada Pendaftar Pertubuhan mengenai dana RM2.6 bilion yang dimasukkan ke dalam akaun peribadi presiden parti, lapor Malaysiakini. – Gambar fail The Malaysian Insider . 
 
 
Kumpulan Gabungan Ketua Cawangan Malaysia (GKCM) hari ini membuat laporan kepada Pendaftar Pertubuhan (RoS) berhubung derma RM2.6 bilion yang dimasukkan ke dalam akaun peribadi Presiden Umno Datuk Seri Najib Razak.  

Jurucakap kumpulan berkenaan, Kamarul Azman Habibur Rahman memberitahu The Malaysian Insider, laporan yang dibuat sekitar jam 3.30 petang tadi bagi membolehkan RoS menjalankan siasatan kerana wang berkenaan tidak dicatatkan dalam penyata kewangan Umno.

"Menurut seksyen 14 (d) Akta Pertubuhan 1966, Umno hendaklah menghantar kunci kira kira bagi setiap tahun kewangan kepada pendaftar pertubuhan. 
 
"Malangnya wang RM2.6 billion ini tidak tercatat dalam kunci kira kira dua tahun yang disebutkan. Laporan ini kami buat atas kepentingan Umno," katanya, dalam satu khidmat pesanan ringkas (SMS) hari ini.

"Ini adalah kerana jumlah wang ini tidak dimasukkan dalam penyata tahunan kewangan Umno semasa PAU 2013 dan 2014," katanya, merujuk kepada Perhimpunan Agung Umno.

Kamarul berkata, jika benar Najib mengaku menerima wang sejumlah itu, menurut Perlembagaan Umno fasal 27.2, setiap harta hendaklah dipegang dan didaftarkan atas nama pemegang amanah parti Melayu itu.

"Menurut fasal 28, akaun Umno hendaklah diaudit oleh firma audit yang diiktiraf  kerajaan Malaysia," katanya.

GKCM juga merupakan penganjur program bersama Timbalan Presiden Umno Tan Sri Muhyiddin Yassin semalam di Kelab Sultan Sulaiman, Kampung Baru, Kuala Lumpur.

Program itu turut dihadiri Naib Presiden Umno Datuk Seri Mohd Shafie Apdal, bersama-sama bekas perdana menteri Tun Dr Mahathir Mohamad.

Program berkenaan dianjurkan susulan Majlis Tertinggi (MT) Umno menyekat Muhyiddin daripada merasmikan mesyuarat sayap Wanita, Pemuda dan Puteri dalam PAU esok.

Muhyiddin dan Shafie digugurkan daripada Kabinet Najib pada Julai, dipercayai susulan kritikan mereka terhadap syarikat 1Malaysia Development Berhad (1MDB).


Tiada ulasan: