Khamis, 31 Disember 2015

Ahmad Maslan: Tak faham TPPA, datang jumpa kami

Shakira Buang








Sekumpulan NGO yang mahu mengadakan demonstrasi membantah Perjanjian Perkongsian Trans Pasifik (TPPA) pada 23 Januari depan dinasihatkan bertemu Menteri Perdagangan Antarabangsa dan Industri, Datuk Seri Mustapa Mohamed terlebih dahulu.

Timbalan menterinya, Datuk Ahmad Maslan berkata ini kerana Mustapa boleh memberi penjelasan secara terpeinci mengenai perjanjian berkenaan.

Katanya, satu sidang khas parlimen juga akan diadakan bagi memberi penerangan mengenai TPPA kepada anggota dewan rakyat.

"Kumpulan NGO terbabit boleh datang dan berbincang dengan MITI mengenai apa yang tidak dipersetujui atau apa yang mereka tak faham.

"Mereka boleh datang sebelum sidang khas Parlimen akan datang dan Datuk Seri Mustapha boleh jawab isu TPPA.

"Saya berharap mereka dapat datang dan bertemu dengan kami sebelum sidang tersebut," kata Ahmad Maslan dalam sidang media selepas mengadakan Program Turun Padang ke Sapura Industrial Berhad, di Bangi hari ini.

Terdahulu, sekumpulan NGO yang diketuai Bantah TPPA dengan kerjasama Kongres Rakyat bercadang mengadakan perhimpunan aman tersebut di Dataran Merdeka.
 
Mereka turut menjangkakan perhimpunan yang dinamakan Demonstrasi Rakyat Bantah TPPA itu bakal dihadiri ribuan peserta.

Timbalan Pengerusi Bantah TPPA, Azlan Awang berkata demonstrasi berkenaan akan melibatkan lebih 200 NGO dan parti politik.

Katanya, ia juga dilihat sebagai peluang terakhir untuk membantah perjanjian itu sebelum dimuktamadkan pada Februari depan di New Zealand.

Mengulas lanjut, Ahmad Maslan berkata Mustapha juga dijadualkan akan turun ke beberapa negeri sebelum sidang khas parlimen berkenaan untuk memberi penjelasan kepada rakyat.

"Datuk Seri Mustapha akan turun ke beberapa negeri sebelum sidang khas Parlimen untuk jelaskan isu TPPA di peringkat negeri," tambahnya.


Tiada ulasan: