Rabu, 23 Disember 2015

AG mesti tumbangkan Ali Tinju pada pusingan dua

MALAYSIAKINI


 


Dia seorang badut tetapi membawa budaya yang amat bahaya kepada masyarakat, kata Rafizi Ramli kepada Mohamed Apandi.

Pada pusingan pertama, Mohd Ali Baharom yang lebih dikenali sebagai Ali Tinju terlepas daripada undang-undang apabila Peguam Negara Tan Sri Mohamed Apandi Ali tidak mendakwanya kerana kekurangan bukti berhubung rusuhan di Plaza Low Yat.

Sebaliknya, pusingan itu menyaksikan Mohamed Apandi Ali dihujani ‘pukulan’ daripada orang ramai yang tidak berpuas hati dengan keputusan itu.

Lima bulan kemudian, kedua-dua mereka sekali lagi dalam gelanggang dan kali ini Naib Presiden PKR, Rafizi Ramli menggesa Peguam Negara untuk menumbangkan "badut" itu.

"Banyak salah laku Ali Tinju yang mahu membodek ahli politik Umno, ini satu gambaran yang tidak baik bagi masyarakat kita secara keseluruhan.

"Kebangkitan Ali Tinju yang jelas mengancam masyarakat adalah gejala yang menjadi alat untuk menindas perbezaan pendapat.

"Ali Tinju dan macai-macainya boleh digunakan pada bila-bila masa terhadap seseorang," katanya kepada Malaysiakini.

'Tarian Punggung'

Mohd Ali yang juga adalah bekas prsiden Persatuan Veteran Tentera Melayu (PVTM) ditahan mengikut Akta Hasutan pada Isnin lalu berhubung kenyataan beliau di kompleks membeli-belah Kota Raya minggu lalu.

Dia dan penyokongnya mengadakan bantahan di luar kompleks itu terhadap peniaga telefon bimbit Cina yang dituduh menipu dan memperdayakan pelanggan Melayu dan Islam.

Sebelum memegang peranan sebagai wira telefon bimbit, Mohd Ali mencetuskan kontroversi apabila dia mengetuai sekumpulan lelaki dalam mempamerkan ‘tarian punggung’ di luar kediaman bekas pengerusi BERSIH Datuk Ambiga Sreenevasan.

Beliau juga berperanan penting pada demonstrasi baju merah pada 16 September lalu bagi memberi amaran kepada bantahan BERSIH 4 yang menuntut Datuk Seri Najib Razak berundur sebagai perdana menteri.

Sementara itu, Rafizi juga menyatakan bagaimana Mohd Ali terpaksa menyemai benih perkauman dan memanipulasi isu bangsa dan agama bagi mewajarkan tindakan samsengnya itu.

"Kegagalan menyelesaikan masalah ini memberi gambaran bahawa masyarakat kita bertoleransi, atau tidak mampu menghalang trend yang jelas bahaya kepada masyarakat," katanya.

Oleh itu, Rafizi yang juga adalah ahli parlimen Pandan berhujah bahawa Peguam Negara mempunyai tanggungjawab kepada masyarakat untuk menghentikan jenama samseng yang dijaja oleh Mohd Ali.

“Sebagai seorang Melayu dan beragama Islam, Peguam Negara juga mempunyai tanggungjawab untuk mengekang individu seperti Ali Tinju yang menyimpang serta memberikan gambaran yang salah bahawa orang Melayu adalah samseng yang turun ke jalanan dan menakut-nakutkan bangsa lain.

"Walaupun ramai yang beranggapan Ali Tinju hanya seorang badut yang patut diabai, namun fenomena ini membimbangkan dan mesti dipatahkan pada peringkat awal," katanya.


Tiada ulasan: