Jumaat, 18 Disember 2015

Adun Meru pertahan Umno ‘halau’ petugas PAS keluar pusat pemindahan banjir



Dr Rani menziarahi salah seorang mangsa banjir yang berehat dalam khemah yang disediakan di Dewan Sekolah Menengah Kebangsaan Meru sebelum petugas PAS diarahkan keluar dari situ. – Gambar fail The Malaysian Insider, 18 Disember, 2015. 
Dr Rani menziarahi salah seorang mangsa banjir yang berehat dalam khemah yang disediakan di Dewan Sekolah Menengah Kebangsaan Meru sebelum petugas PAS diarahkan keluar dari situ. – Gambar fail The Malaysian Insider. 
 
 
Ahli Dewan Undangan Negeri (Adun) Meru, Dr Abdul Rani Osman, mempertahankan kenyataannya semalam yang petugas PAS di sebuah pusat pemindahan banjir di Meru, Klang diarahkan keluar dari pusat itu oleh Umno melalui ketua bahagian Kapar, Datuk Faizal Abdullah.

Beliau berkata demikian mengulas penafian oleh timbalan Faizal, Datuk Saroni Judi, yang dilaporkan hari ini berkata, dakwaan itu tidak benar dan hanya salah faham, kerana kedua-dua pihak sedia maklum tempat itu perlu dikosongkan bagi persiapan majlis perkahwinan Sabtu ini

"Demi Allah, saya berkata benar. Memang saya sendiri diarahkan berbuat demikian. Allah saksi saya, dan ada juga orang lain yang jadi saksi.

"Faizal menarik tangan saya ketepi ketika lawatannya ke situ dan membuat arahan itu. Dia membuatnya dengan cara baik dan meminta maaf terlebih dahulu.  
 
 "Dia kata, itu arahan pihak atasan kerana sekolah itu di bawah kerajaan pusat, bukan kerajaan negeri. Ia disaksikan sendiri penyelaras Umno DUN Meru, Mukhris Jaafar," kata Dr Rani kepada The Malaysian Insider.

Sehubungan itu, beliau menolak kenyataan Saroni yang menafikan dakwaan mereka menghalau petugas Unit Amal yang membantu mangsa banjir di Dewan Merak, Sekolah Menengah Kebangsaan (SMK) Meru pada Rabu.

Menurut Dr Rani, mereka memang tahu dewan itu akan digunakan untuk kenduri kahwin Sabtu ini dan sudah sedia untuk berpindah sebelum tarikh itu.

"Kami menggunakan dewan sekolah ini sejak Ahad lalu sebagai pusat perpindahan kerana Dewan Majlis Perbandaran Klang (MPK) sedang dibaik pulih.

"Namun selepas ini, kami tidak akan lagi menggunakan dewan sekolah di bawah kerajaan pusat, tetapi akan menggunakan dewan sekolah agama dan masjid sebagai pusat perpindahan banjir, selain Dewan MPK," katanya.

Beliau berkata, beliau sendiri terpaksa mengambil sikap mengeluarkan semua petugas PAS dari situ selepas diarah berbuat demikian kerana tidak mahu guru-guru yang terlibat membantu diambil tindakan.

Rabu lepas, semua petugas PAS termasuk anggota Unit Amal diarahkan keluar dari dewan sekolah yang menjadi pusat pemindahan 52 keluarga mangsa banjir sekitar Meru itu.

Mereka juga turut membawa keluar khemah yang dipasangkan di dewan sekolah itu selepas diarahkan berbuat demikian.

Menurut Ketua Kampung Meru Thaifor Noor, insiden diarahkan keluar itu berlaku ketika mereka menunggu ketibaan Menteri di Jabatan Perdana Menteri Datuk Seri Shahidan Kasim yang sepatutnya tiba ke pusat perpindahan itu jam 1 tengah hari, kelmarin.

Sementara itu, Pengarah Unit Amal Nazree Mohd Aris yang kesal dengan kejadian itu berkata, kejadian itu membuktikan cakap-cakap Umno akan bekerjasama dengan PAS hanya omong kosong.


Tiada ulasan: