Selasa, 29 Disember 2015

2 jambatan Sungai Chalil ditenggelami air, penduduk terputus hubungan

THE MALAYSIAN INSIDER

Penduduk di sekitar Kelantan terutama di kawasan rendah bersiap sedia untuk berpindah ke pusat pemindahan jika hujan berterusan. – Gambar fail The Malaysian Insider, 28 Disember, 2015. Penduduk di sekitar Kelantan terutama di kawasan rendah bersiap sedia untuk berpindah ke pusat pemindahan jika hujan berterusan. – Gambar fail The Malaysian Insider. 
 
 
Hujan berterusan sejak awal pagi tadi menyebabkan kira-kira 2,000 penduduk di Rancangan Kemajuan Tanah (RKT) Kesedar Chalil di Gua Musang terputus hubungan apabila menyebabkan 2 jambatan yang merentasi Sungai Chalil ditenggelami air.

Kedua-dua jambatan utama itu, yang menghubungkan RKT Kesedar Chalil dengan kawasan lain termasuk bandar Gua Musang, ditenggelami air limpahan sungai itu sedalam 0.8 meter sejak 3 petang tadi.

Ketua Peneroka RKT Kesedar Chalil, Mat Lazim Yaacob berkata kebanyakan peneroka yang ke bandar Gua Musang atau tempat lain tidak dapat pulang ke rumah masing-masing kerana terputus hubungan.

Beliau berkata jambatan itu sering ditenggelami air setiap kali hujan lebat walaupun di luar musim tengkujuh, menyebabkan penduduk bimbang untuk keluar dari kampung berkenaan. 
 
 "Hujan berterusan ketika ini...kemungkinan air sungai semakin naik dan mengambil masa agak lama untuk surut selepas hujan berhenti," katanya kepada pemberita, hari ini.

Mat Lazim berkata penduduk di kawasan rendah RKT itu juga bersiap sedia untuk berpindah ke pusat pemindahan jika hujan berterusan.

"Pada musim tengkujuh tahun lepas,  jambatan itu juga tenggelam hingga menyukarkan para penduduk," katanya. – Bernama


Tiada ulasan: