Sabtu, 24 Oktober 2015

Zuraida: Langkah Rawang hanya gossip cybertrooper UMNO

Ahli UMNO sengaja menyebarkan khabar angin kerana tidak puas hati dengan keputusan Saifuddin Abdullah menyertai PKR.


zuraida-azmin-saifuddin


PETALING JAYA: Langkah Rawang yang kononnya untuk menyingkirkan Mohamed Azmin Ali sebagai Menteri Besar Selangor timbul kerana UMNO tidak puas hati dengan kemasukkan Datuk Saifuddin Abdullah ke dalam Parti Keadilan Rakyat (PKR).

Ketua Wanita PKR, Zuraida Kamaruddin berkata, penyertaan Saifuddin menjadi satu tanda tanya besar bagi ahli-ahli UMNO mengapa perkara sedemikian boleh berlaku.

Katanya, UMNO bertindak menyebarkan khabar angin berkenaan Langkah Rawang hanya untuk menyedapkan hati mereka susulan tindakan Saifuddin itu.

“Kami yakin bahawa kemasukan Saifuddin bukan untuk memecah belahkan parti tetapi untuk pengukuhan kerana kepercayaan beliau terhadap perjuangan PKR bersama-sama reformis parti.

“Ini jelas menunjukkan kepercayaan Saifuddin terhadap UMNO sudah tiada,” katanya menerusi kenyataan media.

Zuraida berkata, seperti yang ditegaskan Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Rawang, Gan Pei Nei, tidak akan ada langkah Rawang dan satu-satunya langkah yang ada adalah Langkah Pekan.

“Kami berharap cybertrooper UMNO berhenti membuang masa rakyat dengan gossip murahan ini dan melihat kepada keadaan yang lebih serius terutamanya ekonomi negara.

“Mengalihkan perhatian rakyat dari skandal 1MDB dan derma RM2.6 billion tidak akan menyelesaikan masalah negara kita,” katanya.



Tiada ulasan: