GUA MUSANG,  Polis Kelantan mengesahkan rangka dan mayat yang dijumpai di Sungai Perias, Pos Tohoi adalah milik kanak-kanak Orang Asli yang hilang sejak 23 Ogos lalu.


Ketua Polis Kelantan, Datuk Mazlan Lazim berkata, keputusan ujian asid deoksiribonukleik (DNA) terhadap mayat yang ditemui pada 7 Oktober lalu itu mendapati, ia adalah Linda Rosli, 8, manakala penemuan rangka tidak lengkap pada 8 Oktober lalu pula dikenal pasti sebagai Haikal Yaakob, 8.

“Usaha mencari seorang lagi kanak-kanak yang masih hilang (Sasa Sobrie, 8) tetap diteruskan,” katanya ketika meninjau operasi mencari dan menyelamat di Pos Tohoi, semalam.

Mazlan berkata, mayat yang ditemui pada 7 Oktober lalu itu dikenal pasti sebagai Sasa oleh bapanya, Sobrie Latip, 25, ketika pengecaman awal dilakukan di Hospital Gua Musang (HGM), sebelum keputusan ujian DNA menunjukkan ia adalah Linda.

Tujuh murid Sekolah Kebangsaan Tohoi dilaporkan hilang, selepas bertindak melarikan diri dari asrama pada 23 Ogos lalu, kerana takut dikenakan hukuman, selepas dikesan mandi di sungai berdekatan tanpa kebenaran.

Dua daripada mangsa, iaitu Norieen Yaakob, 10, dan Miksudiar Aluj, 11, ditemui hidup pada 9 Oktober lalu, selepas hilang selama 48 hari di dalam hutan.

Pada 16 Oktober lalu, Jabatan Kimia mengesahkan identiti mayat kanak-kanak yang ditemui pada 9 Oktober itu adalah Ika Ayel, 9, manakala rangka yang ditemui pada 11 Oktober pula adalah Juvina David, 7.
Mazlan berkata, pihaknya kini menerima banyak maklumat terbaru mengenai Sasa yang masih hilang itu, hasil temu bual dengan Norieen dan Miksudiar yang masih dirawat di Hospital Raja Perempuan Zainab II (HRPZII), Kota Bharu.

“Kita sedang buat analisis semua maklumat berkenaan dan yakin ia boleh membawa kesan positif dalam pencarian seorang lagi kanak-kanak yang masih hilang itu,” katanya.