Sabtu, 17 Oktober 2015

UMNO perlu berubah – Khaled Nordin

 
UMNO seharusnya tidak lemas dengan gelombang globalisasi yang sarat dengan idea baru dan segar demi kepentingan bangsa.


Khaled-Nordin,-umno


PETALING JAYA : UMNO perlu menjadi sebuah parti moden agar terus menjadi pilihan masyarakat.

Menurut Menteri Besar Johor Datuk Seri Mohamed Khaled Nordin parti itu tidak seharusnya lemas dengan gelombang globalisasi yang sarat dengan idea baru .

“Bagi memastikan UMNO terus kekal dan relevan, parti memerlukan banyak idea baharu yang baik. Dan kesemua ini memerlukan kajian dan penyelidikan yang serius.

“Pada masa yang sama, UMNO perlu merangka pelbagai agenda dan keputusan berasaskan pemikiran terkini dan maklumat terbaik,” tulisnya di blog muafakatjohor.com.

Beliau yang juga Pengerusi Perhubungan UMNO Johor berkata, dasar parti seharusnya disadarkan dengan pemikiran, analisis, saranan, kritikan dan pandangan yang disokong dengan data emperikal terbukti serta terkini.

“Bukan didorong dengan sentimen dan emosi yang membuak-buak atau retorik kosong,” ujarnya.

Menurut Khaled, parti itu perlu merencana dan mencipta sejarah yang baru dan perkara itu boleh dilakukan sekiranya semua pihak dalam UMNO terutama sekali golongan profesional diberikan ruang dan kepercayaan yang sewajarnya.

Beliau berkata UMNO memerlukan lebih ramai pemikir tetapi dalam usaha untuk meningkatkan kedudukan profesional dan berpendidikan tinggi dalam proses pengislahan parti itu, ia sewajarnya diimbangi secara kolektif dengan nasihat, pengalaman dan ‘wisdom’ oleh ahli parti yang lebih berpengalaman, lebih lama dan lebih dewasa.

“Kita percaya, kesepaduan minda dan pemikiran kedua-dua pihak ini akan melonjakkan lagi kedudukan UMNO menjadi sebuah parti politik mendahului zamannya,” ujarnya.

Tiada ulasan: