Jumaat, 16 Oktober 2015

Umno akan rugi jika tidak terima pertentangan pendapat, kata Rafidah




Umno akan rugi jika tidak mahu bertolak ansur dengan pendapat yang bertentangan, kata veteran parti Tan Sri Rafidah Aziz. – Gambar fail The Malaysian Insider, 15 Oktober, 2015.Umno akan rugi jika tidak mahu bertolak ansur dengan pendapat yang bertentangan, kata veteran parti Tan Sri Rafidah Aziz. – Gambar fail The Malaysian Insider.
 
 
 
 
 
 
 
 
 
 
 
 
 
 
 
 
 
 
 
 
 
 
 
Keluarnya Datuk Saifuddin Abdullah daripada Umno menunjukkan parti itu kini tidak lagi bertolak ansur dengan pendapat yang bertentangan, kata veteran parti Tan Sri Rafidah Aziz hari ini. Bekas menteri perdagangan antarabangsa dan industri itu juga berkata, ia bukan satu petanda baik bagi Umno apabila terdapat ahli yang mungkin tidak meninggalkan parti, tetapi pada masa sama, tidak juga memberikan sokongan.

"Terdapat ramai yang tidak betul-betul gembira dengan keadaan yang berlaku sekarang, mereka mungkin tidak akan meninggalkan parti, tetapi mereka mungkin tidak akan mahu menyokong parti, dan ini tidak baik untuk Umno.

"Satu kerugian besar apabila pandangan yang bertentangan tidak boleh ditoleransi, dan ia boleh mendorong ahli meninggalkan parti," katanya kepada The Malaysian Insider, mengulas keputusan bekas timbalan menteri pengajian tinggi itu meninggalkan parti Melayu yang memerintah untuk menyertai PKR. 
 
Rafidah berkata, ini bukan satu keadaan di mana "sama ada anda bersama kami atau anda keluar", sambil menambah, orang ramai mempunyai pilihan untuk "melihat apa yang ada di luar sana".

"Dan jika mereka merasakan tidak dibenarkan mempunyai hak itu, maka parti yang akan rugi akhirnya," kata bekas ketua Wanita Umno itu.

Katanya, Umno tidak boleh hanya bergantung kepada mereka yang secara terbuka menyatakan sokongan kepada pemimpin, sambil menambah, realitinya terdapat ahli yang tidak benar-benar gembira dengan apa yang berlaku dalam parti.

Rafidah juga tidak bersetuju dengan pandangan Datuk Seri Tengku Adnan Tengku Mansor yang melabelkan Saifuddin sebagai "sampah" kerana keputusannya meninggalkan parti.

Katanya, kenyataan seperti itu tidak akan diterima baik ramai ahli Umno yang setia kepada parti tetapi bimbang dengan beberapa isu berkaitan dengan pemimpin.

"Jadi, kita ada sampah dalam kerajaan? Mereka yang tewas (dalam pilihan raya) dilantik sebagai penasihat," katanya merujuk pelantikan beberapa pemimpin Barisan Nasional yang kalah dalam pilihan raya sebagai penasihat perdana menteri dalam urusan tertentu.

Terdahulu hari ini, mengulas keputusan Saifuddin menyertai PKR, Tengku Adnan berkata ia tidak akan menjejaskan Umno kerana bekas ahli Majlis Tertinggi parti itu kalah dalam pilihan raya umum yang lalu.

"Saifuddin bersama kita sebelum ini dan dulunya ahli Parlimen Temerloh. Kami letak dia bertanding dalam pilihan raya dulu dan dia kalah. Pastinya beliau seorang yang bermasalah.

"Malah, rakyat di Temerloh pun tak nak dia, jadi anda (PKR) boleh ambil dia. Kami tak nak dia. Kami tak nak semua sampah ini dalam Umno," kata Tengku Adnan.

Bekas menteri penerangan Tan Sri Zainuddin Maidin sementara itu meramalkan, lebih ramai akan mengikut jejak langkah Saifuddin dan meninggalkan Umno, lapor Malaysiakini.

"Saifuddin nampak pengaruh Najib (sebagai seorang yang sederhana) makin menyusut, jadi dia melompat sebelum kapal tenggelam. Saya rasa ramai lagi akan melompat sebelum kapal tenggelam," katanya dipetik berkata kepada portal itu.

Pemergian Saifuddin, katanya kepada laman web itu, akan menyakiti Najib lebih daripada Umno.

"Umno tak akan rugi, tapi ia akan memberi kesan kepada imej Najib berhubung dengan kesederhanaan," katanya.

Saifuddin hari ini mengumumkan meninggalkan Umno dan menyertai parti pembangkang PKR, memetik cara Putrajaya mengendalikan skandal 1Malaysia Development Berhad (1MDB) dan wang RM2.6 bilion dalam akaun peribadi perdana menteri sebagai alasan berbuat demikian.

Beliau juga mengaitkan keputusannya dengan apa yang didakwanya kurang kesungguhan di pihak Umno melaksanakan perubahan politik dan pembaharuan institusi iaitu dua agenda perjuangan yang dekat di hatinya.


Tiada ulasan: