Isnin, 26 Oktober 2015

'Tiada sekatan bagi perwakilan Umno bahas 1MDB'

Anne Muhammad


 


Ketua Pemuda Umno Khairy Jamaluddin Abu Bakar berkata tidak ada sekatan bagi perwakilan membahaskan usul 1MDB dan derma RM2.6 bilion yang disalurkan ke akaun bank peribadi Datuk Seri Najib Razak selaku presiden parti.

Menurutnya, sepanjang menjadi perwakilan, Umno tidak pernah menyekat mereka daripada membahaskan usul yang diinginkan.

“Saya dah jadi perwakilan 15 tahun lebih dalam Perhimpunan Agung Umno. Dalam pemilihan ini tidak ada satu pun kita letak sekatan terhadap perbahasan terhadap pembahas-pembahas,” katanya dalam sidang media selepas mempengerusikan Mesyuarat Pemuda di PWTC petang tadi.

Katanya, sepanjang tempoh itu, beliau juga tidak pernah berhadapan dengan usaha pihak yang menyekat usul supaya tidak ia diperbahasakan.

“Walaupun kita menghormati tatasusila dan tata-etika perbahasan, saya rasa tidak pernah ada usaha untuk menyekat pembahas daripada didengari pucuk pimpinan parti,” katanya.

Perhimpunan Agung Umnoakan diadakan pada 8 hingga 12 Disember ini sebaik sahaja selesai sesi sidang Parlimen yang berlangsung sekarang.

Terdapat desas desus dalam perhimpunan kali ini akan menyaksikan perwakilan dan pembahas membangkitkan isu wang derma pilihan raya RM2.6 bilion dan juga kontroversi syarikat sarat hutang 1MDB yang diilhamkan oleh Najib.

Soal kredibiliti dan kepimpinan Najib sebagai presiden Umno juga dipercayai akan dibangkitkan berikutan desakan dari akar umbi parti yang mahu perdana menteri melepaskan jawatannya.

Sebelum ini, Tun Dr Mahathir Mohamad turut membangkitkan dua isu hangat itu yang disifatkannya perlu diselesaikan dengan cepat kerana ia akan melemahkan Umno. 

Konvensyen anak muda

Sementara itu, Khairy Jamaluddin berkata Pemuda Umno akan mengadakan satu konvensyen yang memberi peluang kepada anak muda yang bukan ahli parti itu untuk memberikan pandangan.

Katanya, ia dilakukan kerana Pemuda Umno mahu perbahasan semasa perhimpunan agung akan datang mengikut aspirasi dan kehendak orang muda di luar parti.

"Supaya ini boleh menjadi bahan kepada kita dalam perbahasan perhimpunan agung. Kita mahu perbahasan kita ini mengikut kehendak aspirasi orang muda di luar parti.

"Kita akan panggil pemimpin muda yang di luar parti, mahasiswa yang ada di institusi untuk beri pandangan mereka," katanya.

Konvensyen itu dijadualkan pada 20 November nanti.


Tiada ulasan: