shahbudindotcom
Walaupun
hanya seorang wanita, Gabenor Bank Negara, Dr Zeti Akhtar Aziz nyata
seorang yang berani dan tidak mudah mengalah. Di sebaliknya wajahnya
yang lembut dan sering tersenyum, ketegasannya tetap menyerlah.
Bank
Negara yang dipimpinnya bukan saja melengkapkan penyiasatan yang
teliti, malah membuat syor kepada Peguam Negara agar pendakwaan jenayah
diambil terhadap 1MDB atas kesalahan di bawah Akta Kawalan Pertukaran
Wang 1953 kerana memberi maklumat tidak lengkap atau tidak tepat
berhubung pelaburannya di luar negara.
Kali pertama syornya telah ditolak oleh Peguam Negara dan Bank Negara kemudian membuat rayuan agar penolakan itu dikaji semula.
Tetapi ia juga ditolak oleh Peguam Negara atas alasan tiada bukti baru yang dikemukakan.
Atas
nama tanggungjawab dan yakin pelanggaran undang-undang telah dilakukan
oleh 1MDB, di samping barangkali "putus harapan" dengan jalan
pendakwaan melalui Peguam Negara, Bank Negara lantas mengambil langkah
drastik membatalkan tiga kebenarannya sebelum ini kepada syarikat
pelaburan itu untuk pelaburannya di luar negara yang berjumlah AS$1.83
bilion atau kira-kira RM7,500 juta mengikut nilai pertukaran semasa.
Serentak
dengannya, Bank Negara juga mengarahkan jumlah pelaburan itu segera
dibawa balik dan mahukan 1MDB mengemukakan pelan baru berkaitan
dengannya.
Dengan tindakan tersebut, bermakna Dr Zeti telah mematuhi beberapa titah Majlis Raja-Raja berkaitan 1MDB yang antaranya:-
- semua pihak harus beri kerjasama sebenar dan jujur.
- penemuan siasatan hendaklah dilaporkan secara lengkap dan telus.
- badan-badan penguatkuasa dan institusi kawal selia hendaklah menyempurnakan amanah Allah dan kepercayaan rakyat secara telus.
- kepentingan rakyat dan negara mesti mengatasi kepentingan peribadi.
Namun,
sebagaimana yang diumumkan sebelum ini, Bank Negara hanyalah salah satu
daripada empat agensi yang sedang menyiasat 1MDB. Tiga lagi ialah PDRM,
SPRM dan Jabatan Peguam Negara.
Daripada
ketiga-tiga agensi tersebut, yang paling ditunggu ialah hasil
penyiasatan SPRM terhadap SRC International, sebuah syarikat milik 1MDB
tetapi kemudian dipindahkan kepada Kementerian Kewangan kerana didakwa
menyumbangkan dana berjumlah RM42 juta ke dalam akaun peribadi Najib
sebagaimana yang didedahkan oleh The Wall Street Journal.
Hasil
penyiasatan SPRM tentu saja amat dinanti-nanti kerana semasa
menjalankan tugasnya - pejabat mereka telah digeledah, pegawai ditukar,
dokumen dirampas dan beberapa kacau ganggu yang lain telah berlaku.
Ia
kemudian mendorong SPRM mengadakan solat hajat khas memohon
perlindungan Tuhan dengan harapan mereka sentiasa diberi kekuatan dan
perlindungan dalam menegakkan kebenaran.
Kita
faham antara masalah SPRM untuk melengkapkan penyiasatan ialah untuk
mendapatkan keterangan dua saksi yang dipercayai menghilangkan diri dan
bersembunyi di luar negara iaitu bekas Pengarah Urusan SRC
International, Nik Faisal Arif Kamil serta bekas Pengarahnya, Suboh Md
Yassin.
Dalam hal ini SPRM harus menggunakan segala kekuatan serta rantaian yang ada padanya untuk menjejaki dua saksi tersebut dan penyiasatan tidak seharusnya tergantung begini saja untuk tempoh yang lebih lama.
Jika
terlalu lama tanpa jawapan, harapan rakyat turut pudar bersamanya dan
boleh menjejaskan kepercayaan rakyat sendiri terhadap SPRM.
1 ulasan:
WAHAI MANUSIA LELAKI YG MACHO BERMISAI MELENTING
YG BERTANGGUNGJAWAB MENJAGA NEGARA
MALULAH KAMU KEPADA KELEMBUTAN SEORG WANITA SEPARUH USIA
KALAU TKDE KEBERANIAN UTK MEMBELA KEBENARAN, SILA TANGGALKAN
UNIFORM GARANG KAMU DAN BELILAH GINCU DAN MASCARA
BERSOLEKLAH KAMU DI DEPAN CERMIN YG MENGEJEK KAMU KERANA
KAMU LEBIH TAKUTKAN MANUSIA DPD ALLAH... TP KAMU HANYA
BERLAGAK HERO DGN IKAN KERING DAN BILIS.
Catat Ulasan