shahbudindotcom
Turut
sama dalam sidang akhbar itu ialah Timbalan Presiden UMNO, Muhyddin
Yassin, Naib Presiden UMNO, Shafie Apdal serta dua lagi pemimpin veteran
iaitu bekas menteri, Sanusi Junid dan bekas Presiden MCA, Ong Tee Keat.
Seorang
lagi bekas Presiden MCA, Tun Ling Liong Sik yang turut mengeluarkan
kenyataan bersama membantah penyalahgunaan undang-undang Sosma, tidak
hadir dalam sidang akhbar itu kerana dilaporkan mempunyai urusan di luar
negara.
Apa
yang menarik dalam sidang akhbar itu ialah kemunculan Tun Mahathir
bersama dengan Tengku Razaleigh atau Ku Li dan Muhyiddin Yassin secara
sekaligus yang seolah-olah memperlihatkan wujud agenda bersama serta
keserasian jiwa antara mereka.
Semua
orang tahu sejarah hubungan Tun Mahathir dengan Ku Li sebelum ini.
Selepas bertembung dalam pemilihan 1987 dan kemudian Ku Li setuju
membubarkan Semangat 46 pada 1996 demi perpaduan Melayu, kedua-dua
pemimpin itu tidak pernah duduk semeja atau berada di pentas yang sama
untuk bersatu hati dalam sesuatu isu, baik berkaitan UMNO mahupun
negara.
Tun
Mahathir dengan cara dan gayanya, manakala Ku Li pula dengan caranya
yang tersendiri. Walaupun Ku Li pernah mencuba untuk menentang Tun
Abdullah Badawi bagi jawatan Presiden UMNO, tetapi beliau tidak ikut
sama bila Tun Mahathir ligat mengadakan "roadshow" untuk penyingkiran
bekas Perdana Menteri yang banyak dikaitkan dengan isu "budak-budak
tingkat 4" itu.
Begitu
juga apabila Tun Mahathir menarik balik sokongannya terhadap Najib
sejak lebih setahun yang lalu, Ku Li turut tidak ikut serta. Beliau
banyak berdiam diri dan cuma sesekali bercakap berkaitan isu-isu penting
negara.
Lantaran
itu, apabila Tun Mahathir dan Ku Li berjaya duduk semeja untuk
membantah Sosma di ketika bekas Perdana Menteri itu semakin agresif mahu
menurunkan Najib daripada jawatannya, ia tentu saja menarik untuk
ditafsirkan dan ditunggu perkembangannya seterusnya.
Tidak
mungkin rasanya kedua-duanya sanggup duduk semeja hanya semata-mata
kerana Sosma. Ia pasti lebih daripada itu yang ada kaitannya dengan
perkembangan semasa politik negara. Lebih-lebih lagi jika dilihat
sejarah perseteruannya dengan Tun Mahathir, seperti nampak mustahil
hanya kerana Sosma, Ku Li sanggup berbaik dan duduk semeja dengan bekas
musuh politiknya itu.
Apakah
Ku Li sekarang sudah mempunyai agenda yang sama dengan Tun Mahathir
untuk saling bergandingan tangan menyingkirkan Najib dan menyelamatkan
negara ini?
Apatah
lagi dalam sidang akhbar kemudiannya, Ku Li turut mengulas mengenai
usul undi tidak percaya di Parlimen dan usaha lain yang boleh dilakukan
berkaitan kedudukan Perdana Menteri, tetapi enggan mendedahkannya buat
waktu ini.
Begitu
juga dengan Muhyiddin Yassin. Sekembalinya daripada lawatan ke Sarajevo
pada Hari Raya Aidil Adha yang lalu, bekas Timbalan Perdana Menteri itu
ada mengatakan tidak akan bekerjasama dengan Tun Mahathir untuk
menyingkirkan Najib.
Tetapi,
nampaknya sekarang beliau sudah sanggup duduk semeja bersama Tun
Mahathir. Walaupun terlihat cuma berkaitan Sosma, kesediaan Muhyiddin
menonjolkan dirinya untuk bersama-sama dengan Tun Mahathir seperti
menunjukkan beliau sudah mengubah pendiriannya.
Apakah
Sosma hanya permulaan kepada agenda dan gerakan seterusnya oleh Tun
Mahathir bersama Ku Li dan Muhyiddin untuk terus menekan Najib?
Apa gerakan dan agenda seterusnya oleh ketiga-tiga mereka selepas ini?
Jika
Najib berjaya diketepikan, siapakah calon Perdana Menteri pilihan Tun
Mahathir? Jika sebelum ini beliau pernah mengatakan Muhyiddin adalah
pilihannya untuk menggantikan Najib berdasarkan kedudukannya sebagai
orang nombor dua dalam UMNO, apakah kini pendirian itu masih sama atau
sudah berubah?
Di mana pula tempat Ku Li dalam agenda perubahan yang sedang diperjuangkan oleh Mahathir ini?
Apakah
dalam waktu yang sama Tun Mahathir sebenarnya sudah berjaya mencapai
kata sepakat antara Ku Li dan Muhyiddin tentang siapa yang seharusnya
menggantikan Najib, lalu menampilkan mereka duduk semeja dengannya untuk
rakyat menilainya?
Dalam masa yang sama, tergugatkah kedudukan Najib dengan wujudnya gandingan Tun Mahathir, Ku Li dan Muhyiddin ini?
Banyak
perkara mula menjadi perhitungan ramai dengan bergabungnya Tun Mahathir
- Ku Li - Muhyiddin ini. Apakah selepas ini ketiga-tiganya akan lebih
kerap tampil bersama bagi meneruskan tekanan terhadap Najib atau
masing-masing akan mula menyerang dari sudut yang berbeza?
Bagaimana
pula dengan sessi Parlimen yang bermula pada 19 Oktober ini. Meskipun
beberapa pihak menyedari usul undi tidak percaya di Parlimen sukar
menjadi kenyataan berikutan pendirian awal Speaker yang enggan
membenarkannya, apakah akan muncul kaedah lain untuk menggegar dan
menggugat kerusi yang sedang diduduki Najib?
Dengan
tampil bersama Tun Mahathir, apa yang jelas Ku Li dan Muhyiddin tidak
akan berundur lagi daripada langkah yang sudah mereka mulakan. Terus ke
hadapan adalah satu-satunya pilihan yang mereka ada, sama seperti Najib
yang juga pasti akan berhabisan mempertahankan kedudukannya.
Yang
jelas, pertembungan dan pertempuran akan lebih hebat serta menarik
selepas ini. Cuma, siapa menang siapa kecundang saja yang masih dalam
perhitungan dan ketidaktentuan.
Tiada ulasan:
Catat Ulasan